KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Laporan dan siasatan penuh berhubung kes seorang penuntut Universiti Malaya (UM) maut selepas terjatuh daripada bangunan kolej kediaman petang tadi sedang dijalankan pihak berkuasa, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menerusi catatan di Facebook, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UM akan memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
"Buat masa ini, kita masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak polis sebelum KPT mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.
Zambry berkata sejurus menerima perkhabaran mengenai insiden itu, beliau bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sementara itu, UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mahasiswa yang terlibat dalam insiden berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.
Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM kini memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
UM juga meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ítu.
"Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial