AM

SPRM Syor Perkukuh Tatakelola PH CORP

16/10/2025 02:54 PM

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) – Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan sebanyak lima syor penambahbaikan kepada ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PH Corp), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Syor itu adalah bagi meneliti amalan, sistem dan tatacara kerja pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dan Skim Perubatan MADANI.

 

Antara cadangan itu ialah melaksanakan kajian keperluan berdasarkan data kepadatan penduduk B40 mengikut daerah/parlimen, melaksanakan audit fizikal secara berkala dan mengejut oleh unit bebas (contoh: Audit Perubatan atau Bahagian Integriti) bagi mengelakkan tuntutan palsu oleh klinik serta ketirisan dana kerajaan.

 

Cadangan lain termasuk menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) Bahagian Pengurusan Tuntutan dengan memasukkan prosedur pengesahan silang serta memasukkan klausa pematuhan  penalti jelas dalam setiap SOP dan perjanjian dengan klinik swasta.

 

Selain itu, BPT SPRM turut mencadangkan promosi bersepadu dilaksanakan melalui media, kerjasama dengan persatuan perubatan, penyediaan insentif dan sokongan maklumat bagi menggalakkan klinik serta makmal swasta menyertai skim perubatan di bawah PH Corp.

 

Penyiasatan tatakelola telah dilaksanakan berdasarkan maklumat diterima pada awal Januari tahun ini bahawa terdapat kelemahan dalam proses pendaftaran klinik swasta serta pengurusan bayaran tuntutan oleh PH Corp.

 

Kelemahan itu berpotensi membuka ruang kepada risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sekali gus boleh menjejaskan usaha meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan, mengurangkan kos sara hidup.

 

Sementara itu, Pengerusi Exco PH Corp, Mohd Farrish Khalid berkata, pihaknya menerima baik lima syor penambahbaikan itu bagi memperkukuh aspek integriti dan tatakelola serta menyatakan komitmen untuk melaksanakan tindakan sewajarnya bagi mengatasi kelemahan yang dikenal pasti.

 

Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola yang disempurnakan oleh Mohd Farrish dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah III, BPT SPRM, Norazlina Abd. Rahim di pejabat PH Corp di Cyberjaya, semalam.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan