AM

Op Grip: SPRM Jalankan Siasatan Tumpu Usaha Pulihkan Semula Hasil Negara

18/10/2025 05:40 PM

KUALA NERUS, 18 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses menjalankan siasatan bagi memulihkan semula hasil negara yang telah hilang menerusi Op Grip.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Penyiasat Operasi Khas serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) yang sedang membuat kajian analisis kewangan terhadap semua syarikat terlibat.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan susulan dilakukan kerana siasatan masih diperingkat awal dan ia memerlukan masa selepas operasi dilancarkan lebih kurang sebulan lepas.

“Ia bukan sahaja memberi fokus kepada aspek rasuah dan salah guna kuasa untuk tujuan pertuduhan tetapi turut menggunakan pendekatan recovery (pemulihan) aset atau harta bagi mengembalikan semula hasil negara yang hilang akibat ketirisan cukai dan perlindungan tertentu.

“Kita membawa pendekatan baharu dalam siasatan iaitu memastikan aset atau harta yang hilang akibat ketirisan dapat dikembalikan kepada kerajaan kerana mereka tidak membayar cukai dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata ketirisan hasil negara berlaku dalam dua kategori iaitu kegagalan membuat kutipan hasil  serta kehilangan akibat aktiviti haram bagi mengelak cukai dan hasil.

Beliau berkata SPRM mengetuai pasukan petugas yang turut melibatkan pelbagai agensi lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan integriti penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan baik.

“SPRM juga sedang menjalankan money trail syarikat terlibat melalui forensik perakaunan bagi mengenal pasti aset yang perlu dirampas semula.

“Ini satu perkara yang perlukan masa kerana kita perlu mendapatkan dokumen bank dan melaksanakan forensik perakaunan untuk meneliti akaun syarikat terlibat. Keduanya, penjenayah ini perlu ‘dibankrapkan’ dan mereka ini tidak perlu lagi berada dalam persada perniagaan,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah wang yang telah dikembalikan setakat ini, Azam berkata belum ada pemulangan dana dilakukan kerana siasatan masih tertumpu kepada semakan akaun lama dan proses pengiraan oleh agensi terlibat.

“Perolehan atau pengembalian aset ini bukan hanya dijalankan SPRM tetapi kita perlu bekerjasama dengan pihak seperti LHDN dan kastam. Mana yang lari cukai, kena bayar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan