KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Jatuh yang ada kalanya sering dianggap tidak serius sebenarnya boleh membawa akibat yang teruk dan mengancam nyawa seperti pendarahan dalaman di otak atau abdomen, walaupun tiada tanda kecederaan segera yang kelihatan.
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menekankan bahawa jatuh ialah penyebab kedua kematian akibat kecederaan tidak disengajakan di seluruh dunia, dengan dianggarkan 684,000 kematian setiap tahun.
Walaupun kerap berlaku, SMCV menyatakan bahawa jatuh lazimnya dipandang ringan, dengan ramai individu hanya mendapat rawatan apabila gejala menjadi semakin buruk.
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV Dr Cyrus Lai Sin Nan berkata beliau menyaksikan banyak kes dengan pesakit pada awalnya kelihatan tidak mengalami kecederaan, namun pemeriksaan lanjut mendedahkan kecederaan yang kritikal.
"Kami pernah menerima pesakit yang datang ke jabatan kecemasan selepas terjauh, boleh berjalan dan bergerak seperti biasa, tetapi imbasan mendedahkan kecederaan dalaman yang serius seperti pendarahan di otak dan abdomen.
"Hanya kerana tiada tulang yang patah, tidak bermaksud tiada masalah. Ada beberapa kecederaan, terutamanya pada kepala dan abdomen, mungkin tidak menunjukkan gejala dengan serta-merta, namun tindakan pantas dapat mengubahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut SMCV, walaupun jatuh sering dikaitkan dengan golongan warga emas, yang menjadi penyumbang utama lawatan ke Jabatan Kecemasan, insiden ini juga lazim berlaku kepada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak, golongan dewasa yang bekerja dan atlet.
"Kejadian jatuh jarang terjadi akibat satu punca, sebaliknya berlaku disebabkan gabungan faktor persekitaran, gaya hidup dan perubatan," kata Dr Lai.
Beliau berkata kebanyakan kejadian berlaku di rumah, terutamanya di bilik air dan tangga disebabkan permukaan licin atau tidak rata, serta faktor gaya hidup tidak aktif turut menyumbang kepada kelemahan otot dan keseimbangan badan, menjadikan seseorang lebih mudah terjatuh.
Selain itu, masalah kesihatan seperti penglihatan lemah, osteoporosis atau tekanan darah rendah meningkatkan lagi risiko, terutamanya apabila digabungkan dengan ubat yang menyebabkan pening atau ketidakseimbangan. Dalam keadaan ini, jatuh yang biasa juga boleh membawa akibat yang serius.
Memandangkan jatuh boleh menyebabkan pelbagai tahap kecederaan – daripada ringan kepada serius – akses kepada jabatan kecemasan yang bersedia untuk trauma adalah penting.
Di SMCV, kes trauma dikendalikan melalui pendekatan pelbagai disiplin, menggabungkan pakar perubatan dan pakar bedah pelbagai bidang untuk memberikan rawatan menyeluruh terhadap pelbagai jenis kecederaan.
"Pendekatan bersepadu ini memastikan kecederaan terbabit, termasuk yang tidak dapat dilihat dengan segera, dikesan dan dirawat dengan cepat untuk mengelakkan komplikasi dan meningkatkan peluang pemulihan," kata Dr Lai.
SMCV menegaskan bahawa benjolan kecil di kepala juga boleh menyebabkan pendarahan dalaman otak yang berisiko membawa kepada kehilangan kesedaran dan dalam kes teruk, mengakibatkan komplikasi jangka panjang yang menjejaskan fungsi fizikal, kognitif dan emosi seseorang.
Antaranya termasuklah sakit kepala, sawan, kehilangan ingatan, kesukaran menumpukan perhatian, perubahan emosi, dan kesusahan mengurus aktiviti kehidupan seharian, pekerjaan atau hubungan. Dalam kes serius, kecederaan otak traumatik (TBI) juga meningkatkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer, Parkinson, dan ensefalopati traumatik kronik (CTE), penyakit otak progresif akibat trauma berulang.
"Walaupun jatuh boleh menimpa semua peringkat umur, kesan paling serius dihidapi warga emas. Satu insiden jatuh boleh menyebabkan patah tulang pinggul yang memerlukan pembedahan seperti penggantian pinggul," menurut SMCV.
Kebimbangan ini semakin meningkat berikutan unjuran kes patah tulang pinggul di Malaysia dijangka meningkat 3.5 kali ganda menjelang 2050, daripada kira-kira 6,000 kes pada masa ini kepada lebih 21,000 kes.
Dr Lai berkata bagi pesakit warga emas, pembedahan penggantian tulang pinggul sepenuhnya sering menjadi pilihan rawatan paling berkesan kerana langkah itu bukan sahaja membaiki kecederaan, tetapi juga membantu mereka kembali menjalani aktiviti harian dengan kurang kesakitan dan berfungsi lebih baik.
Beliau berkata mendapat rawatan segera selepas terjatuh boleh mempengaruhi pemulihan dan menegaskan supaya pesakit tidak bergantung pada petua tradisional seperti minum air manis selepas jatuh dapat melegakan kesakitan.
"Minum sesuatu yang manis ialah tanggapan yang salah, mungkin dapat membuatkan seseorang rasa lebih baik seketika, tetapi langkah itu tidak sama sekali merawat sebarang kecederaan," katanya dan menambah mengurut atau menyapu minyak pada kawasan lebam sejurus jatuh sebenarnya boleh memburukkan lagi bengkak atau pendarahan.
Sebaliknya, beliau menasihati pesakit supaya berehat, menuam kawasan bengkak dengan ais, dan dapatkan pemeriksaan sekiranya bengkak atau kesakitan berterusan. Pemeriksaan awal membolehkan kecederaan tersembunyi dikenal pasti sebelum komplikasi timbul kerana kelewatan rawatan boleh menyukarkan pemulihan.
Menurut SMCV, jatuh menjadi antara punca utama kekerapan lawatan ke jabatan kecemasan (A&E), justeru akses segera kepada rawatan yang betul adalah penting untuk mengelakkan komplikasi dan mempercepat pemulihan.
Sejajar dengan itu, SMCV telah menaik taraf dan memperluas kemudahan jabatan itu untuk meningkatkan ketercapaian, membaiki aliran pesakit dan memperkukuh kesiapsiagaan rawatan kritikal.
Naik taraf ini termasuk mereka bentuk semula kawasan triage, pertambahan ruang rawatan dan pemerhatian, meningkatkan kapasiti katil pesakit dalam, dan perkhidmatan diagnosis di lapangan yang lebih pantas untuk memastikan rawatan lebih cepat dan tersusun untuk pesakit.
Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV Dr Wee Tong Ming pula berkata perkhidmatan A&E ialah barisan pertahanan pertama dalam menyelamatkan nyawa dan naik taraf ini mencerminkan komitmen SMCV dalam menyediakan rawatan yang pantas, cekap dan penuh empati kepada pesakit kerana dalam kecemasan, setiap saat amat berharga.
Dengan populasi Malaysia yang semakin menua dan gaya hidup sedentari atau tidak aktif, risiko jatuh dijangka meningkat, menjadikannya isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan.
SMCV menegaskan bahawa pengesanan awal, rawatan segera di A&E, dan kesedaran awam dapat mencegah banyak kecederaan akibat jatuh daripada menjadi lebih serius.
"Menerusi peluasan jabatan kecemasan, kapasiti katil dan kepakaran pelbagai disiplin, Pusat Perubatan Sunway Velocity menegaskan komitmen untuk menjaga keselamatan komuniti dengan memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang pantas dan komprehensif," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial