AM

Tiada Kes Jenayah, Salah Laku Serius Dilaporkan Di Institusi TVET Setakat Ini - Ahmad Zahid

17/10/2025 09:45 PM

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Tiada sebarang kes jenayah atau salah laku serius dilaporkan berlaku membabitkan pelajar dalam institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

‎‎Beliau berkata keadaan itu harus dikekalkan, selain menegaskan pihak pengurusan institusi terbabit sentiasa menekankan aspek disiplin dan tatalaku dalam pengambilan pelajar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Dalam setiap pengambilan TVET, antara pengisian dalam taklimat pengenalan adalah tatalaku, ini sering diperingatkan kerana kita mempunyai 1,398 institusi TVET di seluruh negara dan kami koordinasi semua suntikan untuk memberikan tatakelola dan disiplin dalam kalangan pelajar,” katanya.

‎‎Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN 2025 di sini hari ini. 

‎‎Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya dasar khusus berkaitan industri sukan diperkenalkan semula bagi memastikan sektor berkenaan dapat berkembang secara berterusan dan tidak bergantung kepada perubahan kepimpinan.

‎Beliau berkata walaupun industri sukan dipromosikan sejak 1980-an oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pelaksanaannya dilihat tidak konsisten kerana sering berubah setiap kali berlaku pertukaran menteri atau ketua setiausaha (KSU).

“Saya rasa elok jika dasar industri dalam sukan ini dapat diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu panduan kerana pasaran industri sukan cukup besar bukan hanya untuk negara kita tetapi juga negara ASEAN.

“Kita lihat pasaran dunia melebihi USD688 bilion kalau, kita ambil sebahagian kecil pun kita akan dapat jadikan industri sukan sebagai pendapatan untuk negara kita,” katanya. 

‎-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan