JITRA, 17 Okt (Bernama) -- Masjid Ihya ‘Ulumuddin atau lebih dikenali Masjid Changlun di Changlun dekat sini beroperasi sepenuhnya hari ini, sekali gus menceriakan orang ramai khususnya penduduk sekitar yang sekian lama menantikan rumah ibadat yang selesa di kawasan itu.
Pembinaan masjid bagi menggantikan masjid lama itu sebelum ini tergendala sehinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM3.07 juta pada 2023, menjadikan keseluruhan kosnya RM5.77 juta.
Timbalan Pengerusi Masjid Ihya ‘Ulumuddin Zainol Abidin Mohamad berkata masjid itu siap dibina pada awal tahun ini, namun hanya kini dapat digunakan selepas beberapa penambahbaikan dilakukan kepada beberapa infrastruktur serta kelulusan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Hari ini Jumaat pertama untuk kami adakan Solat Jumaat di masjid baharu ini. Jadi, masyarakat kariah di Changlun ini menunggu sejak sekian lama untuk mendapat masjid baharu ini, yang dahulunya projek pembinaannya terbengkalai.
“Kemudian Perdana Menteri meluluskan peruntukan untuk kami lengkapkan projek yang terbengkalai itu dan hari ini alhamdulillah sebuah masjid yang tersergam indah dapat disiapkan untuk keselesaan jemaah,” kataya ketika ditemui selepas Solat Jumaat dekat sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa kemudahan lain yang perlu ditambah baik untuk keselesaan jemaah antaranya pemasangan penyaman udara dan pembinaan parkir yang lebih luas serta dewan.
Zainol Abidin berkata pihak ahli jawatankuasa masjid akan membawa perkara itu untuk perhatian Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan tambahan yang dijangka dapat mengoptimumkan fungsi masjid berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kami berpuas hati dengan pembinaan masjid ini, Perdana Menteri kita sangat prihatin kerana memberikan peruntukan untuk masjid ini disiapkan selepas penduduk di sini menunggu sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu, Imam 1 Masjid Ihya ‘Ulumuddin Hasrul Hasan berkata masjid baharu itu mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah berbanding masjid lama kira-kira 600 jemaah, sekali gus memberi peluang kepada lebih banyak jemaah untuk beribadat.
Beliau berkata masjid lama yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid baharu akan terus beroperasi bagi memudahkan penduduk khususnya musafir yang kerap menggunakan kemudahan di situ.
“Masjid lama masih beroperasi untuk solat fardu tetapi Solat Jumaat hanya didirikan di masjid baharu dan semua program ilmu dan pengimarahan masjid dilakukan di masjid baharu sahaja,” katanya.
Bagi seorang jemaah Muhamad Nur Amirul Nur Asmadi, 23, dari Kampung Padang Halban, masjid baharu itu lebih luas dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk keselesaan orang ramai.
Selain itu, lokasi masjid baharu juga dilihat lebih selamat berbanding masjid lama yang terletak di tepi jalan utama, yang menyebabkan kesesakan jalan raya selain menimbulkan isu keselamatan kepada jemaah.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan untuk menyiapkan masjid ini, kami bersyukur sebab masjid baharu ini lebih selesa terutama untuk jemaah yang telah berusia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial