KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Program Tuisyen Satelit Malaysia MADANI akan diperluaskan ke sekolah-sekolah di Parlimen Sepanggar bagi membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan bimbingan secara percuma.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata program tuisyen percuma itu mula dilaksanakan di pejabat Parlimen beliau sejak tiga tahun lepas dan kini dikembangkan ke sekolah bagi memberi manfaat kepada lebih banyak pelajar.
“Kami dapati tempat semakin tidak mencukupi kerana banyak pelajar ingin menyertai tuisyen itu. Jadi, kami telah berbincang dengan rakan strategik untuk memperluaskannya ke sekolah.
“Banyak pelajar berdepan kesukaran untuk hadir ke Pejabat Parlimen sebab masalah logistik. Oleh itu, kami ambil pendekatan turun ke sekolah dan mewujudkan pusat tuisyen,” katanya selepas majlis pelancaran program tuisyen itu di sini hari ini.
Mustapha berkata pada peringkat awal, program berkenaan akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Telipok sebelum diperluaskan ke sekolah lain bergantung kepada keperluan setempat.
Beliau berkata program itu menyasarkan pelajar berprestasi sederhana yang berpotensi untuk dibimbing agar memperoleh keputusan SPM lebih baik, sekali gus berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 94 peratus pelajar yang menerima tuisyen percuma di Pejabat Parlimen saya berjaya mendapat tawaran kemasukan ke universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU), satu perkembangan positif dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial