KOTA BHARU, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mencadangkan supaya pengeksportan minyak masak tidak bersubsidi ke Thailand dilakukan menerusi saluran sah bagi mengurangkan ketirisan dan penyelewengan subsidi.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata langkah itu penting kerana terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan menjual minyak masak subsidi ke negara jiran demi keuntungan cepat, sedangkan subsidi sepatutnya diperuntukkan untuk rakyat Malaysia.
“Kalau hendak jual (minyak masak tidak bersubsidi) ke Thailand, buat secara halal melalui saluran sah dan ikut undang-undang eksport. Kita ada mekanisme itu, bukan secara haram.
"Faktor permintaan tinggi di selatan Thailand mendorong penyelewengan berlaku. Penduduk di kawasan itu lebih cenderung menggunakan minyak masak Malaysia kerana yakin terhadap kualiti, status halal dan harga yang lebih rendah berbanding produk tempatan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azman berkata harga minyak jagung di Thailand mencecah lebih RM8 seliter justeru minyak masak Malaysia lebih digemari bukan sahaja kerana harganya yang lebih murah malah lebih diyakini halal.
Dalam masa sama, beliau berkata KPDN akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain untuk mengekang penyelewengan di kawasan sempadan termasuk di Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pasar pagi berhampiran pekan Sungai Golok, selatan Thailand, baru-baru ini, mendapati minyak masak keluaran Malaysia dijual secara berleluasa.
Produk tempatan mudah dikenal pasti menerusi label Bahasa Melayu dan cap halal Malaysia malah dijual secara terbuka bersama barangan dapur lain tanpa sekatan.
Hasil pemerhatian turut mendapati sebahagian peniaga menjual minyak masak tersebut dalam kuantiti banyak kepada pelanggan tempatan, dipercayai dibawa masuk melalui jalan tikus di sepanjang sempadan bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk di selatan Thailand.
Peniaga tempatan, Somchai Prasert, 42, berkata beliau menjual minyak peket bersubsidi Malaysia secara tidak sah kerana harganya lebih murah berbanding produk tempatan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Minyak Malaysia laris kerana murah dan halal, sedangkan minyak tempatan lebih mahal. Jika saya tidak jual, pelanggan akan membeli di tempat lain. Ini cara untuk terus bersaing dan memenuhi permintaan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Niran Chai, 35, berkata penjualan minyak berkenaan memberikan keuntungan segera walaupun berisiko.
“Kami tahu ada undang-undang, tetapi jika tidak ambil kesempatan ini, kami rugi kerana ramai pelanggan mahu membeli minyak Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial