KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hassan Akhund lewat malam tadi, bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Menerusi panggilan telefon, Anwar menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog, demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan serta kestabilan rantau ini.
“Dalam masa sama, saya turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh semangat persaudaraan Islam dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bernama melaporkan Pakistan dan Afghanistan telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas rundingan di Doha, Qatar, menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar pada Ahad.
Rundingan damai itu diusahakan dengan perantaraan Qatar dan Turkiye.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial