JENAYAH & MAHKAMAH

Jenazah Mangsa Lemas Pantai Penunjuk Selamat Dikebumi

19/10/2025 09:04 PM

JITRA, 19 Okt (Bernama) -- Jenazah seorang wanita dan kanak-kanak yang maut dalam tragedi lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu petang semalam, selamat dikebumikan petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hijrah di sini.

Suami mangsa, Syafiq Azril Mohd Nasis, 40, berkata jenazah Nor Hidayah Zakaria, 39, dan anak saudaranya Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, masing-masing selamat dikebumikan bersebelahan kira-kira 6 petang.

Syafiq Azril berkata mereka mempunyai seorang anak lelaki Muhammad Sollehuddin, 13, dan arwah isterinya adalah jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah.

"Sebelum kejadian, kami bersama ahli keluarga yang lain bercuti di Cherating, Pahang. Arwah kemudian teringin sangat nak singgah di Pantai Penunjuk sebab dia kata cantik sangat pantai tu," katanya kepada Bernama malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, kegembiraan tujuh sekeluarga berkelah di Pantai Penunjuk, bertukar tragedi apabila seorang wanita dan anak saudaranya maut, manakala lima lagi nyaris lemas selepas ditarik ombak ketika mandi-manda.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tidak sedarkan diri ketika ditemui telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kijal, namun disahkan meninggal dunia pada 5.23 petang.

Nor Hidayah yang turut tidak sedarkan diri ketika ditemui dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.42 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan