KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerjasama dan keselamatan ekonomi akan menjadi tumpuan apabila pemimpin ASEAN berhimpun minggu ini untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menyasarkan memperkukuh perjanjian perdagangan penting dan meningkatkan integrasi serantau dalam mendepani persekitaran global yang mencabar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah tonggak ekonomi akan menjadi tumpuan perbincangan, mencerminkan komitmen blok tersebut untuk memelihara perdagangan, pelaburan dan kestabilan ekonomi dalam tempoh ketegangan geopolitik dan geoekonomi yang meningkat.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan mengetengahkan beberapa pencapaian termasuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat dan negara anggota ASEAN terpilih, menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang dinaik taraf,” katanya dalam temu bual secara berkumpulan bertemakan “How ASEAN’s Economic Prosperity Supports Regional Political Stability” di sini hari ini.
Sebanyak 18 PED memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pendigitalan, kecerdasan buatan, pertumbuhan hijau dan keterangkuman.
Tengku Zafrul berkata ASEAN akan turut mengadakan mesyuarat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang pertama sejak pelancaran perjanjian tersebut, menghimpunkan ASEAN dengan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand untuk menilai kemajuan serantau dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
“Buat kali pertama, negara-negara anggota ASEAN akan mengadakan mesyuarat secara bersama untuk membincangkan keselamatan ekonomi, menggariskan bagaimana perdagangan dan pelaburan mempunyai hubungan rapat dengan kestabilan serantau.
“Sesi itu akan dipengerusikan bersama oleh menteri ekonomi dan luar Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa ASEAN perlu kekal bersatu dalam mengekalkan kepusatan dan pendirian neutral blok itu bukan sahaja dalam diplomasi, malah dalam hal ehwal ekonomi dengan landskap global yang sentiasa berubah.
Pada masa ini, perdagangan antara rantau ASEAN menyumbang kira-kira 24 peratus daripada jumlah perdagangan, paras yang disasarkan untuk meningkat melalui ATIGA yang dinaik taraf dan integrasi digital yang lebih baik.
“Dengan gabungan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir US$3.8 trilion dan populasi 680 juta, ASEAN perlu memainkan peranan secara aktif. Kita perlu bertindak secara kolektif untuk memastikan rantau ini kekal terbuka, berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN dijadualkan bermula akhir minggu ini, dengan menteri-menteri ekonomi dijadualkan bertemu mulai Jumaat (24 Oktober) sebelum sesi pemimpin dan sidang kemuncak berkaitan dengan rakan dialog utama pada hujung minggu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial