AM

Laluan Kuala Perlis-Satun Dijangka Dibuka Semula Awal Tahun Depan

23/10/2025 01:01 AM

KANGAR, 22 Okt (Bernama) -- Laluan laut dari Kuala Perlis ke Satun, Thailand dijangka dibuka semula kepada pelancong awal tahun depan selepas urusan berkaitan kelulusan dan penyelarasan teknikal dimuktamadkan antara kerajaan negeri, pihak Jabatan Laut dan pihak berkuasa Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata setakat ini tiada halangan daripada pihak berkuasa Malaysia dan pihaknya sedang menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Thailand sebelum operasi dimulakan.

“Selepas mendapat kelulusan (kerajaan Thailand), kerajaan negeri akan menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memaklumkan hasrat meneruskan semula operasi ini sebagai sebahagian daripada dasar pelancongan Malaysia-Thailand.

“Kita jangkakan operasi ini dapat dimulakan awal tahun depan selepas kerja baik pulih Bangunan Konkos (terminal lama), penyelarasan sistem tiket dan tapak penambatan bot selesai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abu Bakar berkata laluan laut Kuala Perlis-Satun dihentikan sementara ketika pandemik COVID-19 dan tidak pernah ditutup secara rasmi malah kini masih digunakan oleh nelayan tempatan untuk urusan pendaratan ikan.

Beliau berkata perkhidmatan feri bagi laluan itu akan dikendalikan pihak Koperasi TUBA Langkawi (KOPTUBAS) yang sebelum ini turut mengusahakan perkhidmatan feri di kawasan itu, manakala kadar tambang serta cukai nanti akan ditentukan selepas pihak koperasi mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk semakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan