AM

Sarawak Selesai Sukat 1.2 Juta Hektar Tanah NCR, 938,000 Hektar Diwartakan

23/10/2025 12:58 AM

SERIAN, 22 Okt (Bernama) -- Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 1,217,766 hektar, dengan 938,342 hektar daripadanya telah diwartakan sejak 2010 hingga 30 Sept lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata pada hari ini, kerajaan negeri telah mewartakan 12 lokaliti dengan keluasan keseluruhan 12,370.232 hektar, merangkumi 36 kampung termasuk Kampung Tebakang Dayak, Kampung Semuja, Kampung Seniawan, Kampung Terbat, Kampung Igom, Kampung Belimbing, Kampung Tabuan Rabak, Kampung Seratau, Kampung Semeru, Kampung Emperoh Gerung dan Kampung Danu.

Awang Tengah berkata kesemua tanah tersebut diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

“Selepas pewartaan Seksyen 6, peringkat kedua iaitu penyukatan lot individu dan pengeluaran Surat Hak Milik Seksyen 18 KTN sedang giat dijalankan di seluruh negeri,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan Surat Hak Milik Tanah Bahagian Serian di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak menegaskan bahawa pengukuran hanya dijalankan dengan persetujuan penuntut tanah serta selepas tiada pertikaian sempadan.

“Kerjasama Ketua Kaum, Ketua Masyarakat dan pemilik tanah penting, agar program ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan. Justeru, kita ingin menegaskan bahawa penyukatan hanya dilaksanakan selepas menerima permohonan sah daripada penuntut tanah NCR yang disemak berasaskan perundangan dan bukti sahih.

“Kes yang masih dalam pertikaian mahkamah tidak akan disukat sehingga diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan sejumlah RM9,867,937.55 pampasan diserahkan kepada 57 penerima bagi projek pembangunan infrastruktur di kawasan Serian.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan