AM

Kementerian Komunikasi, MCMC Bakal Teroka Beberapa Bidang Kerjasama Dengan Timor-Leste - Fahmi

26/10/2025 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta untuk meneroka beberapa bidang kerjasama dengan Timor-Leste termasuk perkongsian pengalaman Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting semalam, yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan kedua-dua negara.

“Kita sedang menumpukan kepada ketersambungan. Terdapat beberapa perkara yang telah diminta oleh Perdana Menteri supaya kementerian saya dan MCMC menelitinya. 

“Kita berkemungkinan akan menilai perkongsian pengalaman dalam pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya ditemui pemberita di Pusat Media Antarabangsa selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Fahmi berkata kerajaan Timor-Leste turut menunjukkan minat terhadap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta kabel dasar laut.

“Bermula 17 Okt lepas, rakyat Malaysia yang mengembara ke Timor-Leste dapat menikmati pakej perayauan data ASEAN pada kadar berpatutan, yang tidak ditawarkan sebelum ini.

“Syarikat telekomunikasi Malaysia dan Timor-Leste sedang berbincang mengenai penyediaan pakej data yang lebih baik untuk pengembara dan pelancong. Jadi ini adalah langkah pertama yang sangat baik,” katanya.

 Fahmi turut menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 sebagai detik bersejarah dan langkah penting dalam peluasan komuniti ASEAN.

Beliau berkata Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada lebih 2,900 pengamal media dari seluruh dunia dan berharap Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berjalan dengan lancar.

Terdahulu, Anwar merasmikan sidang kemuncak berkenaan, sekali gus menandakan bermulanya siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada akan menyertai perbincangan mengenai keamanan, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif serantau dengan tema ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan