GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencipta sejarah sebagai agensi kerajaan pertama di negara ini yang memperkenalkan chatbot kecerdasan buatan (AI) generatif, sekali gus membuka lembaran baharu dalam transformasi digital perkhidmatan awam negara.
Datuk Bandar Datuk MBPP A. Rajendran berkata Gen.AI Chatbot MBPP (ChatMBPP) akan berfungsi sebagai saluran interaksi digital yang mudah, pantas dan mesra pengguna 24 jam sehari antara pengguna dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Beliau berkata ChatMBPP juga dibangunkan dengan keupayaan pelbagai bahasa bagi memastikan lebih inklusif dan mudah digunakan oleh semua lapisan masyarakat dengan menyokong empat bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.
“ChatMBPP dibangunkan khusus bagi menjawab pertanyaan berkaitan pengurusan bandar oleh MBPP sahaja termasuk perkhidmatan, prosedur, aduan awam, penguatkuasaan, cukai serta tanggungjawab MBPP.
“Ia mampu memberi respons segera kepada pertanyaan asas dan memulakan proses tindakan seperti menjana tiket aduan serta menghantar mesej kepada sistem aduan untuk tindakan jabatan dalaman terlibat secara automatik,” katanya kepada Bernama.
ChatMBPP yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini semalam, juga menyediakan pautan kepada informasi lanjut dan nombor telefon pegawai serta jabatan MBPP yang boleh dihubungi untuk maklumat lanjut.
Rajendran memaklumkan ChatMBPP masih dalam fasa ujian Beta dan pada tempoh itu, setiap penggunaan dan maklum balas daripada orang awam amat penting bagi membantu model tersebut terus belajar dan bertambah baik melalui teknologi berbentuk generatif.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar berkata Kementerian Digital telah meluluskan Geran 5G bagi menyokong pelaksanaan program ChatMBPP berkenaan.
Beliau berkata kelulusan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan infrastruktur telekomunikasi khususnya rangkaian 5G, dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyokong aplikasi pintar dan perkhidmatan digital yang berimpak tinggi.
“Dengan sokongan rangkaian 5G yang menawarkan kelajuan tinggi dan kependaman rendah, kementerian yakin ChatMBPP akan dapat beroperasi pada tahap optimum, memberikan respons masa nyata yang tepat dan lancar kepada setiap pertanyaan pengguna,” katanya.
ChatMBPP dibangunkan dan diterajui oleh Unit Bandar Pintar MBPP dan dianggotai oleh kesemua 19 jabatan dan unit dalaman MBPP.
Pelaksanaan ChatMBPP juga selari dengan aspirasi dan hala tuju Penang2030, Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, Rangka Kerja Negara AI serta Pelan Induk Daya Saing Bandar Pulau Pinang (CCMP) yang menekankan penggunaan teknologi dan data dalam meningkatkan kualiti hidup bandar serta kecekapan tadbir urus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial