AM

15 Alumni Masscomm UiTM Dihargai Dalam Pelancaran Balai Kemasyhuran

30/10/2025 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 15 bekas graduan Persatuan Alumni Komunikasi Massa (MassComm) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah masukkan ke Balai Kemasyhuran yang dilancarkan pada Rabu di universiti berkenaan di Shah Alam, Selangor.

Ini termasuklah bekas dekan fakulti Profesor Datuk Mohd Hamdan Adnan, yang juga merupakan bekas Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan bekas Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM).

Turut tersenarai ialah bekas Pengarang Urusan New Straits Times (NST) Datuk Nuraina Samad, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV AlHijrah Allahyarham Datuk Bukhari Che Muda, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Seri Abdul Jalil Hamid serta Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Kuala Lumpur Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Presidennya Basree Rakijan berkata penubuhan Balai Kemasyhuran oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, bagi menghargai graduan cemerlangnya merupakan satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan, ketabahan dan sumbangan mereka kepada industri komunikasi.

“Mereka mengingatkan kita bahawa warga MassComm bukan sekadar mengikut arus, tetapi turut mencipta arus tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Basree berkata setiap individu yang dilantik membawa semangat MassComm — semangat yang berteraskan integriti, imaginasi dan pengaruh.

Beliau berkata projek itu, yang dilaksanakan secara bersama dengan fakulti, alumni serta kerjasama industri komunikasi, diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar MassComm untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

“Kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. Ia tumbuh melalui semangat, ketekunan dan tujuan yang jelas,” katanya.

Basree berkata alumni komited untuk memperkukuh rangkaian mereka, menyediakan bimbingan serta menyokong misi fakulti dalam melahirkan komunikator yang bersedia menghadapi masa depan.

Beliau berkata mereka berhasrat menjadikan MassComm bukan sekadar sebuah fakulti, tetapi sebuah keluarga sepanjang hayat — yang terus memberi inspirasi, bekerjasama dan menyumbang kembali kepada UiTM serta negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan