ISTANBUL, 30 Okt (Bernama-Anadolu) -- China akan menggantung sekatan eksport nadir bumi terhadap Amerika Syarikat (AS) selama setahun, menurut Kementerian Perdagangan selepas pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Korea Selatan, sekali gus mengesahkan pengumuman yang dibuat oleh pemimpin AS itu, lapor Anadolu Ajansi.
“China akan menggantung pelaksanaan langkah kawalan eksport berkaitan yang diumumkan pada 9 Okt selama setahun dan akan mengkaji serta memperincikan pelan pelaksanaan khusus,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kementerian berkenaan turut menyatakan bahawa China akan membuat “penyesuaian sewajarnya” terhadap tindak balasnya terhadap tarif AS, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk terus melanjutkan beberapa langkah pengecualian tarif tertentu.
“Amerika Syarikat akan menggantung selama setahun pelaksanaan peraturan baharu yang diumumkan pada 29 Sept, yang memperluaskan sekatan eksport ‘senarai entiti’ kepada mana-mana entiti yang dimiliki sekurang-kurangnya 50 peratus oleh satu atau lebih entiti dalam senarai itu,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Trump berkata AS akan melonggarkan tarif ke atas barangan China sebagai pertukaran bagi kerjasama Beijing dalam mengekang aliran fentanyl, menyambung semula pembelian kacang soya dari AS dan mengekalkan eksport nadir bumi.
AS akan mengurangkan tarif berkaitan fentanyl daripada 20 kepada 10 peratus, sekali gus menurunkan beban tarif keseluruhan daripada 57 kepada 47 peratus.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial