AM

Kelantan Laksana Tuisyen Dalam Talian Secara Percuma Untuk Calon SPM Bermula Tahun Depan

10/11/2025 03:25 PM

KOTA BHARU, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan merancang melaksanakan program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan, iaitu tuisyen dalam talian secara percuma untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata inisiatif itu adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menjalankan percubaan program tersebut secara dalam talian dengan kerjasama Telekom Malaysia membabitkan penyertaan 1,896 pelajar.

“Menerusi E-Tuisyen ini, calon akan diberikan panduan format menjawab peperiksaan SPM merangkumi semua mata pelajaran. Bagi percubaan tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM100,000.

“Tahun depan, kita berhasrat mengembangkan inisiatif ini dengan menyediakan format pembelajaran yang lebih baik melalui khidmat guru pakar, sekali gus membolehkan semua calon SPM di seluruh Kelantan mengikuti tuisyen dalam talian secara percuma,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) mengenai kos dan manfaat pelaksanaan inisiatif itu.

Wan Roslan berkata keputusan untuk memperkenalkan E-Tuisyen adalah susulan kejayaan program Tuisyen Rakyat Sejahtera yang dilaksanakan pada tahun lepas dan memberi impak positif kepada pencapaian SPM.

Katanya program itu memberi tumpuan kepada empat subjek teras dengan penyertaan 1,495 pelajar pada 2024, membabitkan peruntukan RM477,000.

“Keputusan SPM di Kelantan menunjukkan peningkatan kepada 95.99 peratus pada tahun 2024 berbanding 95.08 peratus pada 2023. Justeru, kita perluaskan lagi inisiatif ini membabitkan 2,604 pelajar pada tahun ini.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan inisiatif tuisyen ini kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan lain pada masa akan datang bagi memastikan mereka mendapat akses pembelajaran tambahan yang berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan