AM

"Tak Dapat Lagi Bawa Adik Ke Kedai" - Abang OKU Maut Dalam Kebakaran

10/11/2025 04:46 PM

REMBAU, 10 Nov (Bernama) -- “Selepas ini tak dapat lagi bawa adik ke kedai beli makanan ringan dan kudap-kudap, tak dengar lagi suara dia merengek ajak pergi kedai”.

Demikian luahan Royhan Fadila Khaidir, 31, selepas adiknya ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Hampar di sini, malam tadi.

Pekerja restoran makanan segera itu berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang daripada aktiviti mendaki di Semenyih, Selangor sebelum dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adiknya orang kurang upaya (OKU) Mohd Alfian Syahrizal, 25.

"Semasa dalam perjalanan balik adik perempuan saya telefon beritahu rumah terbakar dan sebaik sampai semuanya sudah musnah, mayat Pian yang ditemukan rentung di atas katil pun sudah dibawa keluar.

"Sewaktu kejadian hanya ada ayah dan Pian saja, emak dan seorang lagi adik kerja syif malam. Ayah cuba selamatkan Pian tapi tak dapat kerana api di bilik marak. Ketika mahu selamatkan diri, bahu dan kepala ayah melecur terkena api,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Rembau di sini hari ini.

Menurutnya arwah yang mesra dipanggil Pian ialah anak keenam daripada tujuh beradik dan gemar dibawa ke kedai untuk membeli gula-gula dan coklat.

Royhan berkata tiada sebarang kelakuan pelik ditunjukkan adiknya sebelum kejadian namun ibu memaklumkan arwah kerap meminta ibu memandikannya beberapa hari kebelakangan ini.

“Kebiasaannya Pian akan mandi sendiri, tetapi sejak dua tiga hari lepas, arwah sering meminta ibu membantu. Kami pasti akan merindui Pian,” katanya sambil menambah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar petang ini selepas selesai bedah siasat.

Mohd Alfian Syahrizal yang merupakan OKU kategori lembam dilaporkan maut selepas rumah keluarganya musnah dalam kebakaran. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Khairul Yahaya berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada 10.57 malam.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan