AM

APMM Tahan Kapal Tangki Simpan Minyak Diesel Tanpa Dokumen Sah

10/11/2025 06:05 PM

MELAKA, 10 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki yang disyaki menyimpan kira-kira 50 metrik tan minyak diesel tanpa dokumen sah bernilai hampir RM180,000.

Pengarahnya Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata kapal itu ditahan ketika sedang bersauh pada kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka di perairan Selat Melaka pada 3.30 petang semalam.

Beliau berkata pihaknya menemui lima kru warga Indonesia berusia 20 hingga 46 tahun dalam kapal tangki dari Batam, Indonesia itu.

"Kapal tangki berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 metrik tan cecair disyaki minyak diesel di dalam tangkinya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kru kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan api itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Salehuddin berkata minyak itu dipercayai diambil di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.

Beliau berkata kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, katanya Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan