AM

Kerajaan Tidak Abaikan Usahawan Di Sabah - Ramanan

10/11/2025 06:34 PM

KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.25 bilion kepada 66,992 usahawan di Sabah sejak 1998 hingga Oktober lepas, membuktikan usahawan mikro di negeri ini tidak pernah diabaikan. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata jumlah peruntukan berkenaan sebahagian daripada RM10.99 billion yang disalurkan kepada 861,666 usahawan pelbagai sektor di seluruh negara dalam tempoh masa yang sama.

Beliau berkata pada 2025 (Januari hingga Oktober) bagi Sabah sebanyak RM137 juta telah disalurkan kepada 5,567 usahawan pelbagai sektor dan kerajaan sentiasa meletakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta industri mikro tunjang utama pembangunan ekonomi negara, apatah lagi di Sabah yang kaya dengan potensi.

  "Saya difahamkan, ramai usahawan TEKUN di Sabah terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan, pertanian, kraf tangan, dan industri makanan.

"Inilah kekuatan kita. Usahawan ini bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi turut membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi komuniti setempat,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Usahawan TEKUN di sini hari ini.

Ramanan berkata dalam konteks pembangunan usahawan di Sabah, kementerian menyedari bahawa pendekatan yang berbeza diperlukan untuk memenuhi ciri-ciri sosioekonomi tempatan. 

Justeru itu, TEKUN Nasional telah memperkenalkan dan memperkasakan skim-skim yang lebih berfokus. Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di bawah TEKUN Nasional, yang direka khusus untuk membantu penjaja dan peniaga kecil di Tamu.

Beliau berkata program itu adalah manifestasi komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan golongan peniaga di Tamu mendapat akses pembiayaan yang lebih mudah dan bersesuaian.

"Saya juga dimaklumkan sejak Skim Tamu diperkenalkan pada 2023 hingga September 2025, sejumlah RM9.8 juta telah disalurkan kepada 2,294 usahawan, khususnya para peniaga kecil dan penjaja yang aktif di pasar-pasar tamu di seluruh negeri Sabah," katanya.

Ia menunjukkan komitmen KUSKOP melalui TEKUN Nasional dalam memperkasakan ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"TEKUN Nasional percaya bahawa inisiatif seperti ini akan terus membantu usahawan mikro memanfaatkan platform yang disediakan secara efektif, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan usahawan di Malaysia," katanya.

Sehubungan dengan itu, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting untuk memastikan usaha pembangunan terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah untuk menjamin kestabilan dan menjana pembangunan sosioekonomi.

"Kerajaan MADANI melalui kementerian dan agensinya akan terus memastikan setiap bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasar dan benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat, khususnya di Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan