KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited memastikan pembinaan Politeknik Kota Belud siap menjelang 2031, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata langkah itu bukan sekadar menyambung semula projek yang tertangguh sejak 2018, tetapi juga memberi harapan kepada rakyat daerah itu dan seluruh wilayah barat Sabah untuk memiliki institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) moden yang menjadi pemacu kemajuan masa hadapan.
“Pembinaan semula Politeknik Kota Belud ialah lambang tekad kerajaan untuk membawa perubahan bermakna kepada rakyat, meningkatkan kemahiran belia, serta memacu pertumbuhan industri baharu di wilayah ini,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis perletakan batu asas politeknik berkenaan yang akan memainkan peranan strategik dalam membina ekosistem bakat dan peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata tiga bidang berimpak tinggi akan menjadi tumpuan, iaitu teknologi maklumat berteraskan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi pertanian pintar.
Bidang berkenaan selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), memastikan Sabah bukan sekadar mengejar arus global, tetapi turut menerajui transformasi.
“Semoga politeknik ini dapat memenuhi keperluan pendidikan dan latihan generasi masa hadapan, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, serta menjadi pusat inovasi yang menyokong pembangunan ekonomi Kota Belud dan Sabah secara keseluruhan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial