JENAYAH & MAHKAMAH

Cap Palsu Imigresen: Tujuh Individu Termasuk Tiga Warga Asing Ditahan

11/11/2025 11:19 AM

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Tujuh individu termasuk tiga warga asing ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan cap keselamatan Imigresen dalam Ops Serkap, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan, dan tiga wanita Vietnam berusia 20 hingga 35 tahun.

Beliau berkata hasil maklumat dan risikan, dua suspek lelaki tempatan telah menaiki bas dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru kira-kira 12 tengah malam menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

Bertindak atas maklumat itu, beliau berkata sepasukan pegawai telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan pergerakan kedua-dua suspek di sekitar TBS.

"Pasukan operasi mengekori pergerakan dan kemudiannya menahan kedua-dua suspek ketika mereka memasuki premis kediaman di sebuah taman di Seri Kembangan, Selangor, yang disyaki menjadi tempat persembunyian beberapa individu lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata serbuan pada awal pagi itu telah menumpaskan satu sindiket disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan cap keselamatan Imigresen.

"Hasil penggeledahan di lokasi, pasukan operasi telah menemukan lapan naskhah pasport warga Vietnam dan dua cap keselamatan yang disyaki palsu," katanya.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua tahun lepas dan modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang ingin berada dalam tempoh lama di Malaysia.

"Mereka ini akan mendapatkan khidmat sindiket dengan tujuan memperoleh pengesahan yang dikendalikan suspek tanpa mengetahui bahawa pengesahan tersebut adalah palsu.

"Berdasarkan siasatan awal, setiap urusan dipercayai dikenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu dokumen," katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan