AM

Kes Demam Denggi Dan Leptospirosis Turun Mendadak Di Kelantan

11/11/2025 03:00 PM

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Kes demam denggi dan leptospirosis di Kelantan menunjukkan penurunan mendadak sehingga Oktober, berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata sebanyak 1,192 kes demam denggi dilaporkan berbanding 2,510 kes bagi tempoh sama pada 2024.

“Ia menunjukkan penurunan sebanyak 52.51 peratus berbanding jumlah kes yang direkodkan pada tahun lepas. Malah, bagi tahun ini juga, tiada kes kematian akibat denggi dilaporkan berbanding dua kes kematian pada tahun lepas.

“Selain itu, sebanyak 87 wabak denggi dilaporkan sehingga 4 Okt lepas berbanding 161 wabak pada tempoh sama tahun lepas iaitu penurunan 46 peratus. Kesemua wabak berkenaan telah tamat dan tiada wabak aktif pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) mengenai langkah proaktif kerajaan negeri untuk menangani peningkatan kes demam denggi dan leptospirosis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata bagi leptospirosis pula sebanyak 173 kes dilaporkan di seluruh negeri sehingga minggu epidemiologi 45 pada tahun ini, berbanding 360 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata data yang diperoleh setakat ini menunjukkan penurunan mendadak dan ia berada pada paras berjaga-jaga selain tiada kejadian wabak dilaporkan pada tahun ini berbanding tiga wabak dikesan bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi berkaitan dalam menangani penyakit berjangkit seperti demam denggi dan leptospirosis.

“Pelbagai langkah proaktif dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk pelepasan nyamuk aedes berwolbachia, gotong-royong dan lain. Kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran juga menjadi faktor penting menurunkan kadar jangkitan penyakit berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan