KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Usaha memperkukuh keupayaan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan Sarawak 2026, yang dijadualkan dibentang hujung bulan ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata PBT di negeri ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kadar cukai taksiran yang tidak pernah disemak sejak 1970-an.
"Di Semenanjung Malaysia, PBT seperti di Perak dan Selangor telah menaikkan kadar taksiran masing-masing, namun kadar kita kekal sejak 1970-an.
"Saya percaya Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) akan meneruskan usaha untuk memperkukuh dan membantu mereka (PBT menerusi Belanjawan 2026),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa 2025 di sini hari ini.
Mengenai sektor kesihatan, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata satu daripada keutamaan kerajaan negeri ialah untuk meningkatkan jumlah doktor dan jururawat.
"Kita memerlukan lebih ramai petugas perubatan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan. Dengan tenaga kerja mencukupi, pesakit tidak perlu menunggu selama tiga jam di klinik atau hospital sebaliknya mungkin hanya satu jam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial