MARANG, 11 Nov (Bernama) -- Minat mendalam terhadap sukan memanah mendatangkan rezeki kepada seorang peniaga kedai kopi apabila hobi yang sekadar mengisi masa lapang itu kini menjadi sumber pendapatan sampingan lumayan melalui penjualan anak panah tradisional.
Mohd Hadi Rusli @ Awang, 37, dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payung berkata pada mulanya beliau menghasilkan anak panah untuk kegunaan sendiri atas faktor keserasian dan kesukaran mendapatkan saiz yang sesuai.
Beliau bagaimanapun berkata lama-kelamaan hasil kerja tangannya itu mula menarik perhatian rakan-rakan yang tertarik dengan kualiti dan kekemasan produk berkenaan.
“Pada awalnya saya buat anak panah dan busur untuk kegunaan sendiri tetapi lama-kelamaan banyak pula rakan-rakan yang berminat dan minta tolong buatkan untuk mereka.
“Saya mula ambil tempahan lima bulan lepas. Setakat ini permintaan memang tak menang tangan, namun disebabkan kekangan masa saya hanya dapat hasilkan tiga hingga empat dozen anak panah sebulan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Berangan Pak Ayu di sini hari ini.
Mohd Hadi berkata produk yang dihasilkan itu dijual antara RM350 hingga RM400 untuk satu set yang mengandungi 12 anak panah dan ia bergantung kepada jenis kayu yang digunakan.
Beliau berkata antara jenis kayu yang sering digunakan termasuk pain dan cedar yang keras dan ringan kerana ia lebih tahan serta tidak mudah patah.
“Biasanya saya akan gunakan kayu pain kerana ia lebih mudah diperoleh di kedai di sini (Terengganu) dan harganya juga agak berpatutan.
“Proses pembuatannya juga melalui beberapa peringkat bermula dengan membelah kayu, mengetam sehingga mengecat. Bagaimanapun proses paling sukar ialah membentuk anak panah yang bulat kepada diameter antara 7.5 hingga sembilan milimeter,” katanya.
Beliau berkata di Terengganu hanya terdapat kira-kira 10 pembuat busur dan anak panah tradisional yang mengusahakan perusahaan itu secara sepenuh masa atau sampingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial