KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Eksport ke negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) meningkat bagi tempoh Januari sehingga September 2025 dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata eksport ke negara-negara anggota CPTPP meningkat 3.6 peratus kepada RM362.51 bilion bagi tempoh Januari sehingga September 2025 berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
“Eksport minyak sawit dan keluaran berasaskan sawit telah meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada RM7.35 bilion manakala eksport elektrik dan elektronik (E&E) telah meningkat 19.3 peratus kepada RM157.02 bilion.
“Walaupun eksport petroleum dan keluaran petroleum telah menyusut 25 peratus kepada RM37.57 bilion, penurunan ini tidak berlaku pada eksport kepada negara-negara anggota CPTPP sahaja tetapi merupakan penyusutan umum eksport petroleum dan keluaran petroleum akibat daripada penyelenggaraan telaga minyak dan gas di Malaysia serta pengurangan harga minyak mentah antarabangsa sepanjang 2025,” katanya.
MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Sementara itu, kementerian berkenaan berkata eksport ke negara-negara anggota RCEP pada tempoh Januari sehingga September 2025 telah menunjukkan kenaikan sebanyak 0.1 peratus kepada RM612.01 bilion di mana eksport minyak sawit dan keluaran berasaskan sawit telah meningkat 6.2 peratus kepada RM15.37 bilion manakala eksport E&E naik sebanyak 13.5 peratus kepada RM227.58 bilion.
“Bagaimanapun, eksport petroleum dan keluaran petroleum pula menyusut 19.7 peratus kepada RM64.25 bilion sejajar dengan penurunan eksport petroleum dan keluaran petroleum negara,” katanya.
Menurut MITI, peningkatan eskport produk Malaysia ke negara-negara anggota CPTPP dan RCEP dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu membuktikan bukan sahaja daya tahan tinggi eksport negara tetapi kepentingan Malaysia mendapatkan akses pasaran dan fasiliti perdagangan daripada perjanjian-perjanjian perdagangan bebas berkenaan.
“Akses pasaran berintegrasi dalam kalangan negara-negara ASEAN dan rakan dialog ASEAN di bawah perjanjian RCEP dan rangkaian perdagangan dengan negara-negara anggota CPTPP seperti Kanada, Mexico dan Peru telah mewujudkan pasaran alternatif untuk mempelbagaikan peluang eksport Malaysia,” katanya.
Jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada 2024 mencatatkan nilai RM325 bilion, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM198.65 bilion yang juga merupakan pasaran eksport tertinggi negara.
“Sekiranya tarif timbal balas yang tinggi dikenakan, ia akan menyebabkan impak negatif kepada ekosistem industri negara serta rantaian bekalan serantau dan antarabangsa,” katanya.
Kementerian itu berkata menyedari impak yang bakal dihadapi oleh Malaysia, kerajaan telah mengambil langkah untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan AS melalui ART (Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS).
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial