AM

Proses Pemilihan Unit PPR Ampar Tenang Secara Undian Terbuka - KPKT

15/11/2025 11:03 AM

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Proses pemilihan unit rumah bagi peserta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil akan dibuat melalui kaedah undian manual secara terbuka bagi memastikan ketelusan dalam pengagihan.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini, setiap peserta akan mencabut nombor unit rumah masing-masing secara terbuka semasa majlis penyerahan surat tawaran, disaksikan oleh semua hadirin bagi menjamin ketelusan proses.

“Kaedah undian ini turut digunakan di semua PPR seliaan Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan diteruskan pelaksanaannya di PPR Ampar Tenang. 

“Justeru itu, isu pilih kasih atau keistimewaan untuk mendapatkan lot tepi tidak timbul dalam proses pemilihan unit rumah,” menurut kenyataan itu.

Proses itu mencerminkan komitmen berterusan KPKT dalam memastikan pemilihan peserta dilaksanakan secara telus, adil dan berintegriti. 

“Dengan penyediaan perumahan berkualiti dan lestari selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, KPKT terus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengekalkan rakyat sebagai teras utama pembangunan negara,” menurut KPKT.

PPR Ampar Tenang dibangunkan bagi menempatkan semula penduduk Ruman Kos Rendah (RKR) Taman Permata yang juga penempatan asal pekerja Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely.

Ia dibina di sebidang tanah berkeluasan 30 ekar sumbangan kerajaan Selangor dan telah siap sepenuhnya serta sedia didiami mulai 2025, melibatkan kos pembangunan RM88 juta ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Unit yang ditawarkan terdiri daripada rumah teres kos rendah setingkat pada harga RM20,000 seunit.

Harga itu ditetapkan berdasarkan nilai pembelian rumah di RKR Taman Permata selaras dengan keputusan kerajaan pada 12 Okt 2016.

Fasa pertama penempatan melibatkan 161 peserta dilaksanakan pada 6 Okt lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan