AM

Program Patuh Akan Diperluas Ke Seluruh Pasar Awam Di Ibu Negara

15/11/2025 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur akan memperluas Program Patuh ke semua pasar awam di ibu negara tahun hadapan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata program itu dilaksanakan sebagai langkah memperkukuh budaya pematuhan perniagaan sekali gus memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif, berintegriti dan telus. 

"Program ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga serta melindungi hak dan kepentingan pengguna," katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di Pasar Awam Sungai Besi hari ini.

Beliau berkata Pasar Awam Sungai Besi dipilih sebagai perintis program berkenaan susulan keadaan infrastrukturnya yang semakin usang dan penurunan kehadiran orang ramai.

"Pasar ini dipilih pada Januari lepas, dan KPDN Kuala Lumpur bersama rakan strategik antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah bekerjasama membaiki bagi menjadikan pasar awam ini kembali menjadi tumpuan penduduk setempat," katanya.

Mohd Sabri berkata  pelaksanaan program itu turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh serta berimpak tinggi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan