AM

Festival Kesenian Borneo 2025 Tarik Lebih 10,000 Pengunjung setakat Ini

15/11/2025 05:51 PM

LABUAN, 15 Nov (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung mengunjungi Festival Kesenian Borneo (BAF) 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan setakat ini sekali gus mencatatkan kehadiran tertinggi untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Festival lima hari dari 13 hingga 17 Nov itu bukan sahaja menarik kunjungan pelancong tempatan tetapi juga pelawat antarabangsa termasuk dari Brunei.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap kesenian, serta kepentingan festival itu sebagai pemacu kebudayaan dan pelancongan untuk Labuan.

“Sambutan luar biasa ini menunjukkan sejauh mana komuniti menghargai budaya dan kreativiti. Festival ini menyatukan masyarakat, mempromosikan keterangkuman dan mengukuhkan potensi Labuan sebagai hab serantau untuk perkembangan ekonomi kreatif,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata festival itu telah menjana beribu-ribu ringgit untuk ekonomi sejak pembukaannya yang juga memanfaatkan peniaga tempatan, penjual makanan, inap desa, hotel dan pengendali pengangkutan.

Feri Labuan turut mencatat tempahan penuh sejak 12 Nov, iaitu sehari sebelum acara bermula.

Dr Zaliha berkata Labuan perlu sentiasa memperkukuh program berasaskan komuniti bagi menarik lebih ramai pelawat dan mengekalkan daya tarikan pelancongan sepanjang tahun.

“Acara yang dipacu oleh penyertaan tempatan, termasuk pameran kebudayaan, festival kejiranan, pasar kraf, aktiviti sukan dan tarikan komuniti terbukti berkesan menarik pelancong domestik dan serantau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Mohd Sukuran Taib berkata festival tahun ini mengetengahkan keunikan etnik Labuan, menampilkan rumah tradisional, pameran budaya, tarian kreatif Borneo, pertandingan tarian ‘tingkah geruh’, serta hidangan tempatan.

“Acara-acara berkenaan menambahkan lagi daya tarikan utama kepada peminat kebudayaan dan pencinta makanan,” katanya.

Mohd Sukuran berkata festival berkenaan adalah sebahagian daripada kalendar pelancongan tahunan Perbadanan Labuan, bertujuan memelihara warisan budaya, memupuk bakat kreatif dan menyokong pempelbagaian ekonomi Labuan melalui pelancongan berasaskan seni.

“Majlis penutup festival dijadualkan pada malam Ahad, dan kita menjangka kehadiran lebih ramai pada minggu ini apabila berlangsungnya persembahan akhir dan penyampaian anugerah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan