KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia menjalin kerjasama dengan kira-kira 70 jenama tempatan dan antarabangsa bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama itu bertujuan untuk memperkukuh penyertaan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran menjelang TMM2026 selain menonjolkan peranan perniaga tempatan dalam menyokong pertumbuhaan ekonomi negara.
“Kita bukan sahaja bekerjasama dengan jenama antarabangsa tetapi juga jenama tempatan. Keseluruhan terdapat kira-kira 70 jenama terbabit dalam mempromosikan TMM2026. Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat membantu negara mempromosikan TMM2026,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama antara Tourism Malaysia dan Bask Bear Coffee bagi TMM2026 di sini hari ini.
Tiong juga menyeru rakyat Malaysia supaya melihat TMM2026 sebagai inisiatif negara yang melangkaui batas politik, kaum dan agama.
“Jangan politikkan perkara ini. Ini mengenai pertumbuhan ekonomi negara bagi manfaat rakyat, terutama golongan B40 dan anak muda,” katanya.
Mengenai apa yang membezakan TMM2026 dengan edisi sebelum ini, Tiong berkata kementerian akan mengumumkan program penuh serta keunikan kempen itu pada Disember ini.
“Kita telah berusaha yang terbaik untuk menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 lebih menonjol daripada tahun sebelumnya. Kejayaannya bergantung kepada kerjasama semua pihak,” katanya.
Pada majlis hari ini, Bask Bear Coffee & Toasties mengumumkan sokongan kepada TMM2026 melalui penajaan yang memberi manfaat kepada 100,000 pelancong asing dan seluruh rakyat Malaysia menerusi rancangan unik yang bakal 'mengoncang’ minuman kopi tempatan.
Jenama itu akan memberikan minuman kopi bernilai RM1.2 juta kepada pelancong antarabangsa melalui promosi "Buy 1-Feee1”, yang menampilkan siri Gula Aren iaitu minuman berperisa karamel daripada gula yang diperoleh dari Borneo.
Rakyat Malaysia pula boleh menyertai “Bask Bear Club”, dengan tawaran secawan Americano percuma setiap hari dan yuran bulanan RM29, manakala peserta yang mendaftar awal akan menerima tambahan sebulan yuran percuma.
Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd Bryan Loo berkata kerjasama itu merupakan satu pencapaian besar kepada jenama tempatan itu, membolehkan mereka memperkenalkan citarasa autentik Malaysia kepada pelancong asing dan pada masa sama menghargai pelanggan setia tempatan.
Inisiatif ini seiring dengan matlamat Tourism Malaysia untuk meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa kepada 47 juta dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion sempena TMM2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial