AM

Zahid Gesa Anak Muda Sabah Jadi Pemacu Kestabilan Politik, Kemajuan Negeri

16/11/2025 02:50 PM

KOTA BELUD, 16 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu anak muda Sabah menjadi pemacu kepada kestabilan politik dan kemajuan negeri dengan mengambil peluang disediakan kerajaan untuk membina masa depan lebih baik.

Beliau berkata golongan muda merupakan aset penting negeri berkenaan memandangkan 54 peratus penduduk Sabah terdiri daripada belia, namun kadar pengangguran di negeri itu masih tertinggi di Malaysia iaitu 17.1 peratus.

“Kita mahu anak Sabah diberikan gaji premium, sekurang-kurangnya RM2,000 (sebulan) dengan syarat mesti melalui kursus TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya sambil menegaskan sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau akan memberi keutamaan latihan itu kepada belia Sabah.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Program Karnival Lindung Kerjaya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, Tadzul Radim (Pintasan) dan Azuwan Marjan @ Norjan (Tempasuk).

Ahmad Zahid berkata gaji premium itu dapat memastikan anak muda Sabah tidak berhijrah ke Semenanjung atau Sarawak untuk mencari pekerjaan, sebaliknya dapat membina kerjaya dan kehidupan di negeri sendiri.

Kerajaan Persekutuan, menurut beliau akan terus memperkukuh peluang latihan kemahiran di Sabah melalui penambahan Pusat GiatMARA baharu termasuk sebuah di DUN Tempasuk bagi memastikan anak muda negeri itu bersedia menghadapi pasaran kerja lebih kompetitif.

“Kita mempunyai 25 GiatMARA di Sabah sekarang ini. Insya-Allah untuk Rancangan Malaysia Ke-13, kita akan tambah penubuhan GiatMARA dengan antaranya di Tempasuk. 

“Insya-Allah, kita akan percepatkan penubuhannya demi melatih anak muda khususnya yang akan terlibat dalam bidang yang mempunyai peluang pekerjaan dengan gaji tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata inisiatif itu sejajar dengan komitmen kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam sektor berteknologi tinggi dan berpotensi tinggi pendapatan, sekali gus memperkukuh ekonomi Sabah secara menyeluruh.

Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan kestabilan politik di Sabah supaya segala potensi pembangunan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan