KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Kenyataan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bahawa pengundi Sabah akan hilang kelebihan jika memilih calon daripada parti nasional adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tindakan itu mampu memecah-belahkan hubungan antara parti tempatan dan parti nasional.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata kenyataan sedemikian tidak wajar kerana semua calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah anak tempatan tanpa mengira parti.
“Saya rasa itu satu kenyataan kurang bertanggungjawab dan cuba nak memecah-belahkan pemimpin parti tempatan dengan parti kebangsaan.
“Semua pemimpin dan calon yang bertanding di Sabah ini adalah pemimpin tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Komuniti di sini malam ini.
Turut hadir calon DAP yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) Datuk Phoong Jin Zhe bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas, Chan Loong Wei (Luyang), Datuk Chan Foong Hin (Tanjung Aru) dan Datuk Jannie Lasimbang (Kapayan).
Loke berkata kenyataan Ewon juga bercanggah dengan kedudukannya yang masih menerima gaji sebagai Menteri Persekutuan walaupun telah mengumumkan perletakan jawatan, sambil mengingatkan bahawa PH tetap memberi ruang kepadanya selaku presiden parti meskipun hanya memiliki dua kerusi Parlimen.
“Jadi sebagai Menteri Persekutuan perlulah ada satu sifat menyatupadukan rakyat, bukannya memecah-belahkan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sabah menolak naratif permusuhan antara Sabah dan Semenanjung serta menumpukan kepada pembentukan kerajaan negeri yang stabil dan berupaya menjalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial