AM

Calon PH Ruji Ubi Mahu Transformasi Pekan Merotai Jadi Bandar Baharu

16/11/2025 04:15 PM

TAWAU, 16 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi mahu melaksanakan transformasi terhadap Pekan Merotai bagi menjadi sebuah bandar baharu yang lengkap dengan kemudahan pusat rekreasi untuk penduduknya.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara itu berkata beliau akan berusaha merealisasikan transformasi terhadap pekan berkenaan sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat DUN Merotai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov.

"Orang Tawau ini sangat aktif, kalau di bandar Tawau ada kompleks sukan untuk beriadah, ada taman-taman yang berdekatan, tetapi bagi belia di Merotai, di Kampung Kijang, di Kuala Merotai, di Semarak, di Bombalai, mereka tiada kawasan tempat rekreasi.

"Jika ada kawasan lapang yang boleh dinaik taraf, dan yang berhormat ini dia ada peruntukan khusus apatah lagi kalau yang berhormat itu sealiran dengan kerajaan Persekutuan, maka saya rasa tidak mustahil untuk menjayakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Hotspring di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat prihatin terhadap pembangunan Sabah dan Kerajaan Persekutuan telah banyak menyalurkan bantuan serta peruntukan pembangunan yang besar kepada negeri ini.

Hari ini, Ruji meluangkan masa bertemu masyarakat Cina di Pasar Hotspring dan Pasar Sin Onn dengan mengedarkan risalah berkaitan visi serta misinya untuk DUN Merotai.

Pengundi DUN Merotai yang juga peniaga sayur di Pasar Hotspring, Voo Choi Kiaw, 76, berharap agar calon yang memenangi kerusi DUN berkenaan kelak selalu turun padang dan meneliti keperluan yang perlu ditambah baik di pasar itu.

Dia turut memuji usaha Ruji yang menyantuni peniaga di pasar itu beberapa kali.

Turut senada, Ho Cook Thai, 64, yang berharap calon dipilih menjadi wakil rakyat agar sentiasa mendengar keperluan rakyat.

Ruji ditentang calon daripada Parti Warisan yang meletakkan penyandang kerusi DUN berkenaan Sarifuddin Hata, calon Perikatan Nasional Hasan Haris serta Rhyme@Reymie Kassim daripada Parti Impian Sabah (PIS).

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

 

PENCALONAN/NOMINATION - SABAH
N72: MEROTAI: SABAH: 26,179
 
1. Rhyme @ Reymie Kassim (PIS)
2. Hasan Haris (PN-PAS)
3. Sarifuddin Hata (Warisan)
4. Datuk Ruji Ubi (PH-PKR)
 
(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,587)
 
 

 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan