KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas barangan bernilai RM4.5 juta, termasuk barangan tiruan dan gas petroleum cecair (LPG), dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak Januari hingga 30 Okt lepas.
Pengarahnya Mohd Sabri Seman berkata nilai rampasan itu merupakan komponen terbesar dalam tindakan penguatkuasaan KPDN KL, sekali gus menunjukkan impak ketara terhadap aktiviti perdagangan tidak beretika di ibu negara.
“Dalam tempoh ini, 546 kes berjaya dihasilkan melalui operasi berterusan di seluruh Kuala Lumpur, dengan kompaun berjumlah RM704,400 dan denda RM179,928,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Program Pasar Patuh Bersama Rakan Strategik dan Media di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 101 anggota penguat kuasa digerakkan dengan fokus kepada keberadaan di lapangan atau omnipresence, pengurusan risiko ketirisan dan integrasi penguatkuasaan digital bagi meningkatkan keberkesanan tindakan.
Sebanyak 34,566 premis, katanya diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang meliputi harga, timbangan dan barang kawalan.
“Jumlah pemeriksaan yang tinggi ini membuktikan komitmen kementerian dalam melindungi pengguna dan memastikan peniaga mematuhi peraturan,” katanya.
Bagi aspek pemantauan pengguna, Mohd Sabri berkata KPDN KL menerima 8,424 aduan, dengan perkhidmatan dalam talian mencatat aduan tertinggi iaitu 32.8 peratus atau 2,760 aduan.
“Daripada jumlah keseluruhan aduan, 97.07 peratus (8,178) berjaya diselesaikan, memperlihatkan kecekapan kementerian dalam menangani isu yang dibangkitkan pengguna,” katanya.
Mengulas usaha mengurangkan kos sara hidup, beliau berkata sebanyak 1,242 Program Jualan Rahmah MADANI telah dianjurkan di 11 kawasan Parlimen di ibu negara setakat bulan lepas.
Beliau berkata Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak adalah inisiatif paling aktif dengan 895 program atau 72 peratus daripada keseluruhan pelaksanaan, membolehkan rakyat memperoleh barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran melalui kerjasama industri runcit dan borong tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial