SIMPANG PULAI, 16 Nov (Bernama) -- Program rintis Geran Sosial Impak ASEAN Maybank (MASIG) yang dilaksanakan Yayasan Maybank dengan kerjasama syarikat reka bentuk bangunan, SEAD berjaya meningkatkan pendapatan penduduk Kampung Orang Asli Pos Raya di sini serta Pos Poi, Sungai Siput, Perak.
Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank Izlyn Ramli berkata projek itu bertujuan memperkukuh kehidupan Orang Asli melalui ekonomi jana semula berasaskan produk daripada buluh melibatkan pelaburan USD$50,000 (RM206,000) oleh Yayasan Maybank.
Beliau berkata aktiviti yang dilaksanakan berasaskan pendapatan dan membangunkan rantaian nilai bekalan buluh termasuk menghasilkan bahan binaan mampan, perabot serta kraftangan dan kegiatan pertanian.
“Setakat ini, individu terlatih telah mencapai purata peningkatan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000, memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 30 isi rumah di dua kampung tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup Program Kepelbagaian Ekonomi Berasaskan Buluh Bersama Komuniti Orang Asli di Pos Raya di sini baru-baru ini.
Izlyn berkata program berkenaan melibatkan 80 Orang Asli di dua perkampungan Orang Asli itu dan dilaksanakan selama 16 bulan bermula September 2024 hingga Disember tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan peserta program dalam tempoh setahun bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan secara berterusan.
Sementara itu, Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa ketika berucap pada majlis penutup itu berkata program MASIG bermula dengan matlamat yang ringkas, namun memberi impak besar iaitu menyokong komuniti Orang Asli dalam membina pertumbuhan mampan, ketahanan dan pemerkasaan.
Beliau berkata program itu dilaksanakan berasaskan Teori Perubahan Impak Sosial Yayasan Maybank dan sejajar dengan aspirasi Maybank untuk mencipta impak sosial.
Zamzamzairani berkata projek itu direka untuk memperkukuh pengurusan komuniti serta menggalakkan kepelbagaian sumber pendapatan dengan menyediakan alat, pengetahuan dan sistem yang diperlukan bagi kemampanan jangka panjang.
“Pengajaran yang diperoleh daripada program ini akan memberi inspirasi dan membantu kami menambah baik inisiatif masa hadapan untuk terus memberi manfaat kepada komuniti di seluruh ASEAN,” katanya.
Program MASIG mencerminkan komitmen Kumpulan Maybank untuk memajukan kemampanan alam sekitar dan sosial secara holistik di seluruh ASEAN merangkumi mandat untuk memperkasakan komuniti melalui inisiatif yang menggalakkan pendidikan, pemerkasaan komuniti, penjagaan alam sekitar serta pemeliharaan warisan tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial