AM

Bomba Ambil Masa Dua Hari Selamatkan Lelaki Orang Asli Dipatuk Ular Di Gerik

17/11/2025 10:03 PM

IPOH, 17 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki Orang Asli yang dipatuk ular berbisa semasa mencari hasil hutan bersama rakannya di Pos Kemar, Kampung Agek dekat Gerik, semalam berjaya dibawa keluar dari kampung berkenaan petang tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa dikenali sebagai Sali Seruliou, 48, mengalami kesukaran untuk bergerak akibat patukan haiwan berbisa berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.05 petang semalam, dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bersama bantuan pihak polis telah ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer (km).

Pasukan penyelamat dengan bantuan tiga malim gunung dan orang awam mula bergerak pada 1.45 pagi dan sampai 11.30 pagi tadi, selepas kira-kira 10 jam perjalanan.

“Untuk sampai ke lokasi, pasukan penyelamat perlu mendaki bukit dan menempuh hutan belukar.

"Mangsa diberikan rawatan awal mengikut pesanan doktor dengan memberikan ubat penghilang kesakitan dan meminta mangsa untuk tidak bergerak terlalu banyak,” katanya . 

Mangsa kemudian terpaksa dibawa keluar dari lokasi kejadian menggunakan helikopter memandangkan mangsa mengalamai kesukaran untuk bergerak.

Selain itu, lima anggota bomba turut mengalami kecederaan ringan disebabkan jarak perjalanan yang jauh selain bentuk muka bumi yang mencabar untuk sampai ke lokasi mangsa ditemukan.

Kerja-kerja menyediakan kawasan untuk helikopter mendarat mengambil masa kira-kira tiga jam.

Shazlean berkata mangsa dan anggota yang lain kemudian dibawa ke Hospital Gerik melalui Lapangan Terbang Gerik untuk menerima rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya 6 petang tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan