AM

Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Landasan Kukuh Selesaikan Tuntutan 40 Peratus

17/11/2025 07:13 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan Sabah yakin mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas menjadi landasan kukuh bagi mencapai penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam kenyataan bersama hari ini memberitahu, mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai itu telah diadakan pada hari ini.

Menurut kenyataan itu mesyuarat berkenaan menumpukan kajian semula nilai Pemberian Khas Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada 17 Okt lepas.

Wakil kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif dengan semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman, termasuk perkongsian data serta maklumat kewangan yang diperlukan.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perbincangan ini menandakan permulaan yang berkesan dan konstruktif, dengan kesepakatan bersama bahawa kajian semula Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan di Sabah,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, bagi pihak Kerajaan Sabah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican mewakili Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, Pengarah Belanjawan Negara Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman, Ketua Bahagian Penyelidikan Jabatan Peguam Negara Marzaitul Azura Mokhtar, serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri, Mohd Saiful Sungkih Abdullah.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan di negeri ini hampir empat dekad.

Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan