SANDAKAN, 17 Nov (Bernama) -- Kadar pengangguran di Sabah berjaya diturunkan kepada 5.7 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 6.7 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2019, mencerminkan kemajuan signifikan hasil pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi dan industri negeri.
Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe, berkata bagi suku ketiga 2019, jumlah penganggur adalah seramai 136,000, tetapi angka itu berjaya dikurangkan kepada 110,000 orang pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata ketika mula memegang portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian dua tahun lepas, kadar pengangguran di Sabah berada pada 8.1 peratus, dan kini berjaya dikurangkan kepada 5.7 peratus – penurunan terbesar sejak pasca pandemik COVID-19.
“Bagi penduduk bekerja pula, jumlahnya meningkat sebanyak 170,000 orang, daripada 1.67 juta pada suku pertama 2024,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan DAP Tanjong Papat, di sini, hari ini.
Phoong, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Likas pada PRN Sabah ke-17, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha menarik pelaburan dan pembangunan industri secara berterusan di Sabah.
Mengenai strategi mendekati 53 peratus pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah, beliau berkata pendekatan terbaik adalah memperkukuh ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik penyertaan golongan belia dalam pembangunan negeri.
Pada PRN ke-17, Phoong akan berdepan saingan enam penjuru di DUN Likas yang mempunyai seramai 19,100 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N19: LIKAS: SABAH: 19,100
1. Ku Yuk Cheong (PKS)
2. Yong Yin Loong @ Louis Yong (PIS)
3. Candy Chiew (PBK)
4. Phoong Jin Zhe (PH-DAP)
5. Yong Yit Lee (SAPP)
6. Tham Yun Fook (Warisan)
(2020: Tan Lee Fatt: Warisan Plus-DAP: Majoriti Undi: 7,517)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial