SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Selangor mencatatkan penurunan kes demam denggi sebanyak 20,399 kes sehingga minggu epidemiologi (ME) 45/2025, menurun 36,001 kes atau 63.8 peratus berbanding 56,400 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Kes kematian akibat denggi juga menunjukkan penurunan signifikan iaitu hanya enam kes tahun ini berbanding 14 kes dalam tempoh sama pada 2024.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata angka itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri bersama agensi dan jabatan berkaitan dalam memperkukuh aspek pengawalan serta pencegahan denggi membuahkan hasil positif.
Beliau bagaimanapun berkata usaha itu tidak boleh dilaksanakan secara bermusim dan pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan secara berterusan serta menyeluruh agar trend penurunan kes denggi dapat dikekalkan dari tahun ke tahun.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri akan merangka beberapa strategi bagi menambah baik pendekatan sedia ada bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua komuniti.
“Strategi ini menggabungkan intervensi pelbagai komponen termasuk kawalan biologi, kimia dan alam sekitar selain disokong oleh penguatkuasaan undang-undang serta pendidikan kesihatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Serdang) berhubung status kes denggi dan langkah kerajaan negeri dalam menangani masalah berkenaan.
Jamaliah berkata kerajaan negeri juga akan memperluas dan memperkukuh program komuniti bebas denggi di semua daerah dengan penglibatan menyeluruh ahli majlis, persatuan penduduk, institusi pendidikan dan institusi keagamaan.
Selain itu, program gotong-royong bagi aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan akan dilaksanakan dengan kekerapan lebih tinggi di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas.
“Kempen kesedaran mengenai kepentingan pencegahan tempat pembiakan nyamuk aedes dan bahaya demam denggi kepada komuniti juga akan dipergiatkan melalui hebahan di media elektronik serta media sosial seperti papan iklan, radio, Facebook dan TikTok,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial