PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada ibu model Belanda yang telah meninggal dunia Ivana Esther Robert Smit.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi pada 29 Julai lepas yang memihak kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan.
“Kami berpuas hati bahawa terdapat risiko sebenar rayuan itu akan terjejas jika perayu dipaksa mematuhi perintah mandatori seperti dinyatakan dalam penghakiman Mahkamah Tinggi,” katanya.
Turut bersidang Datuk Ismail Brahim dan Datuk Dr Lim Hock Leng.
Mohamed Zaini juga berkata Mahkamah Tinggi telah memerintahkan agar ganti rugi dibayar serta-merta ke dalam akaun pemegang amanah peguam Verstappen.
Bagaimanapun, kerajaan telah menjelaskan bahawa sebagai agensi kerajaan, proses pembayaran tidaklah mudah dan meminta pembayaran segera mungkin menimbulkan kesukaran.
“Kami mengambil maklum bahawa tiada risiko sebenar ketiadaan bayaran,” katanya sambil menambah kerajaan akan mampu memenuhi penghakiman jika gagal dalam rayuan.
Mohamed Zaini berkata tindakan mengekalkan status quo ganti rugi tidak akan merugikan Verstappen manakala menolak penangguhan mungkin mendatangkan akibat yang tidak dapat dipulihkan.
Beliau juga berkata rayuan kerajaan mempunyai merit dan terdapat beberapa isu yang boleh dipertikai di hadapan Mahkamah Rayuan mengenai perintah mandatori yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.
“Justeru itu, pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 29 Julai 2025 adalah ditangguh sehingga rayuan selepas,” katanya.
Mohamed Zaini turut mengarahkan Pendaftar Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh awal bagi mendengar kes itu.
Verstappen telah menyaman Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Daerah Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mereka melanggar kewajipan statutori serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk, RM300,000 sebagai ganti rugi teladan dan RM100,000 sebagai kos.
Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Ketua Polis Negara agar menyingkirkan Faizal daripada pasukan petugas semasa dan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung kematian Ivana Smit sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2019 terhadap keputusan Mahkamah Koroner.
PDRM juga diarahkan untuk memberi taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan mengenai perkembangan siasatan manakala AGC ditugaskan untuk menentukan sama ada bukti yang mencukupi telah dikumpul untuk menilai tindakan selanjutnya.
Verstappen telah memfailkan saman itu pada 20 Nov 2020, mendakwa anaknya telah ditemukan mati di tingkat enam Residensi CapSquare pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari unit kondominium di tingkat 20 milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis cuai kerana gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Ivana adalah disebabkan misadvanture (kematian akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.
Pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan "kematian yang disebabkan oleh individu atau beberapa individu yang tidak dikenali" serta memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.
Kerajaan memfailkan rayuan pada 18 Ogos lepas dan pada masa sama, turut memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi namun ditolak pada 13 Nov lepas.
Kerajaan kemudian memfailkan permohonan penanguhan di Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin hadir bagi pihak kerajaan manakala peguam S.N.Nair mewakili Verstappen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial