MEMBAKUT, 18 Nov (Bernama) -- Jentera kempen Barisan Nasional (BN) diminta bekerja lebih keras kerana parti itu memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai 'underdog' atau bukan pilihan, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pada masa yang sama, jentera BN tidak perlu berasa rendah diri untuk menyaingi kekuatan parti lain kerana yang ‘gergasi’ tidak bermakna kuat selama-lamanya.
“Kita perlu bertindak seperti anai-anai, kita makan sikit-sikit supaya ‘gergasi’ boleh tumbang,” katanya kepada pemberita selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsulok, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dekat sini hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata PRN kali ini amat penting kerana ia penentu masa depan negeri dan rakyat Sabah mesti memanfaatkan peluang berkenaan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
“Apabila Sabah dapat menubuhkan kerajaan yang kuat dan stabil maka keyakinan pelabur akan datang semula. Tidak ada pelabur yang akan membawa pelaburan ke negara ataupun negeri yang tidak stabil kerajaannya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata rakyat Sabah perlu memberi mandat kepada parti yang terbukti berupaya mentadbir dan mempunyai rekod baik dalam mengurus negeri serta parti yang bersama-sama Kerajaan Persekutuan.
Mohamad berkata sehubungan itu, para pengundi diingatkan agar tidak mudah terpikat dengan janji-janji manis kempen sesetengah pihak.
Sementara itu, Mohamad berkata BN akan melancarkan manifesto sempena PRN Sabah ke-17 pada 22 Nov ini yang akan disempurnakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengenai peluang calon BN di DUN Membakut, Mohamad berkata beliau yakin parti itu dapat merampas kembali kerusi berkenaan pada 29 Nov ini.
Pada PRN kali ini, calon BN di DUN Membakut Rusman Dulamit akan bertanding dalam persaingan 10 penjuru termasuk dengan penyandang kerusi itu Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada PRN ke-16, kerusi DUN Membakut dimenangi oleh Mohd Arifin dengan majoriti 3,421 undi.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial