AM

Allianz Life Perkasa Lebih 3,000 Allianz Life Changers, Tingkatkan Perkhidmatan Pelanggan

18/11/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) memperkasakan lebih 3,000 ahli Allianz Life Changers menerusi penganjuran siri Action Group Seminar & Recognition (AGSR) 2025.

Allianz Life dalam kenyataan memaklumkan acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor; Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting, Pahang dan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Hat Yai, Thailand itu adalah komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

“Siri AGSR berfungsi sebagai platform untuk meraikan pencapaian ejen berprestasi tinggi sambil menyediakan peluang untuk pembangunan profesional.

“Melalui sesi ucaptama, perbincangan panel dan majlis pengiktirafan, Allianz Life memperkukuhkan budaya prestasi, kebolehsuaian dan penambahbaikan berterusan, kualiti yang secara langsung diterjemahkan kepada perkhidmatan dan perlindungan yang lebih baik untuk pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, siri AGSR turut menampilkan kandungan tentang kepimpinan, inovasi dan trend pasaran, sekali gus melengkapkan ejen untuk berkembang maju dalam industri yang pesat berkembang.

Pengukuhan keupayaan peserta itu juga dapat memastikan Allianz Life Changers berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan penyelesaian khusus dalam memenuhi pelbagai keperluan pelanggan merentasi semua peringkat kehidupan.

“Di Allianz Life, setiap peluang pembelajaran adalah satu langkah ke arah memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami.

“… dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul, kami sedang membentuk komuniti profesional yang boleh membawa perubahan sebenar dalam kehidupan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Allianz C.E.O. Programme, satu inisiatif berstruktur selama 24 bulan yang direka untuk mempercepatkan pertumbuhan individu berpotensi tinggi ke dalam peranan kepimpinan agensi, menjadi tonggak utama strategi pembangunan agensi Allianz Life.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang Allianz Life untuk membina tenaga kerja agensi yang profesional dan berpusatkan pelanggan dengan mampu memberikan nilai yang konsisten dan nasihat yang dipercayai.

“… dengan terus melabur dalam pembangunan bakat dan strategi yang berpusatkan pelanggan, Allianz Life berada pada kedudukan terbaik untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dan memacu pertumbuhan lestari pada tahun-tahun akan datang,” katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan Allianz Life Raymond Cheah dalam kenyataan yang sama berkata syarikat itu memfokuskan teras syarikat dan kepentingan membina kepercayaan dengan pelanggan untuk perniagaan. 

“Perniagaan kami berteraskan perlindungan dan pelanggan meletakkan kepercayaan mereka kepada kami untuk melindungi apa yang bernilai buat mereka. Kepercayaan ini terhasil melalui konsistensi, profesionalisme dan empati.

“Itulah sebabnya usaha membangunkan tenaga agensi kami menjadi keutamaan. Dengan melengkapi Allianz Life Changers kami dengan kemahiran dan pemikiran yang betul, kami mewujudkan asas keyakinan dan kebolehpercayaan yang boleh pelanggan harapkan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan