KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- WE2025: Future in Motion yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Nov ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dijangka menjana potensi perdagangan sehingga RM100 juta.
Acara anjuran Qube Integrated Malaysia itu menyasarkan 10,000 pengunjung dengan penyertaan kira-kira 150 pempamer tempatan dan antarabangsa sebagai platform bagi memperkukuh perdagangan, inovasi dan kepimpinan melalui agenda inklusiviti serta pemerkasaan wanita.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku rakan kolaborasi akan menampilkan dua inisiatif sosial iaitu MamaCare dan Trak Bergerak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi mempromosikan sokongan kesihatan ibu bersalin serta perkhidmatan kaunseling dan intervensi krisis kepada komuniti.
Kementerian itu juga akan menghimpunkan penyertaan usahawan mikro wanita di WE2025 Marketplace yang ditaja PrintDaddy Sdn Bhd, manakala PENIAGAWATI iaitu rangkaian keusahawanan wanita akan mempamerkan perusahaan pimpinan wanita daripada pelbagai sektor.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pula memberi tumpuan kepada peningkatan peranan dan keterlihatan wanita dalam sektor pembuatan sejajar dengan usaha memperkasa kepimpinan wanita dalam industri.
Dalam sektor korporat, penaja Berjaya Food Berhad akan menampilkan jenama Starbucks, termasuk promosi khas, sesi coffee tasting dan kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) oleh Starbucks Deaf Coffee Masters yang menyokong model Signing Store bagi memberi peluang kerjaya untuk pekerja pekak.
Yayasan Peneraju pula akan mempromosi program pensijilan kemahiran khusus wanita dan belia, manakala Kraftangan Malaysia mengetengahkan perusahaan kreatif wanita meliputi tenunan, seni manik, fesyen dan perhiasan rumah.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan menumpukan kepada perusahaan makanan, kesejahteraan dan pelancongan yang mempamerkan peranan penting perniagaan kecil dalam pembangunan wilayah.
Dalam aspek teknologi dan perdagangan global, Alibaba.com akan menganjurkan sesi strategi pengembangan PKS, manakala Yingke Consulting Malaysia berkongsi kaedah perdagangan rentas sempadan.
Intrinsic SEA pula mengetuai penyertaan hampir 60 pempamer global dari China, Singapura, Kanada, Jepun, Timur Tengah dan ASEAN, termasuk Zhejiang Jiakang Electronics Co. Ltd., iFLYTEK, Target Media, MIMOS, Naviderman serta beberapa syarikat yang berpangkalan di Singapura dan Kanada.
Rakan inovasi dari Jepun seperti Elysimate turut menyertai pameran itu bersama rangkaian kepimpinan wanita antarabangsa seperti Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China yang akan menampilkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
WE2025 menerima sokongan KPWKM, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo berkata selain ekspo perdagangan, WE2025 turut merangkumi persidangan kepimpinan, sesi padanan perniagaan dan 15 acara satelit yang menyediakan ekosistem dinamik untuk usahawan dan pelapor inovasi berhubung, berkolaborasi dan memacu pertumbuhan inklusif.
Pengunjung boleh mendaftar di laman rasmi WE2025 di https://reg.we2025.com.my/registration-visitor/
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial