EKONOMI

Risiko Hutang Negara Kekal Terkawal, Disokong Profil Tempoh Matang, Mata Wang Baik - MOF

18/11/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Risiko hutang luar negara secara keseluruhan kekal terkawal, disokong oleh profil tempoh matang dan profil mata wang yang baik, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata hutang luar negeri berjumlah RM1.4 trilion atau 69.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir suku ketiga 2025.

Katanya, paras itu dinilai selamat dan tidak memudaratkan prospek ekonomi negara.

Berdasarkan Debt Sustainability Framework oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), risiko hutang luar negeri boleh memudaratkan sekiranya disertai dengan saiz hutang jangka pendek yang besar, pendedahan yang tinggi terhadap pinjaman dalam mata wang asing serta defisit dalam akaun semasa imbangan pembayaran.

“Risiko ini tidak wujud dalam konteks Malaysia.

“Dari segi tempoh matang hutang, sebanyak 56.9 peratus hutang luar negeri setakat akhir suku ketiga 2025 terdiri daripada hutang jangka sederhana dan panjang, justeru mengurangkan risiko pembiayaan semula,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai langkah konkrit yang diambil kerajaan bagi memastikan kemampuan negara menghadapi hutang luar memandangkan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Ogos 2025 hanya berupaya menampung 4 .8 bulan keperluan import dan 0.9 kali hutang luar jangka pendek.

Mengulas lanjut, menurut MOF, setakat 31 Okt, 2025 rizab antarabangsa BNM berjumlah US$123.8 bilion, bersamaan dengan RM521.6 bilion, dan paras rizab ini adalah melebihi paras ambang kecukupan minimum antarabangsa sebanyak tiga bulan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek, kata kementerian itu.

Rizab antarabangsa juga kekal mencukupi pada 104 peratus mengikut metrik Penilaian Kecukupan Rizab oleh IMF yang mengambil kira pelbagai sudut kecukupan rizab secara lebih menyeluruh.

 Sementara itu, hutang luar negeri kerajaan adalah kecil dan kekal rendah, merangkumi kurang daripada tiga peratus daripada jumlah hutang luar negeri dalam denominasi mata wang asing.

“Sejumlah besar hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit, yang terlindung daripada risiko ketidakpadanan mata wang,” kata MOF.

Ia menegaskan bahawa rizab antarabangsa bukan satu-satunya cara memenuhi obligasi luaran seperti pembayaran balik hutang luar negeri.  

Antaranya, susulan liberalisasi dasar pertukaran asing secara berperingkat, syarikat korporat dan institusi kewangan Malaysia telah membina pegangan aset luar negeri bukan rizab yang besar.

Ia boleh digunakan untuk memenuhi komitmen kewangan dalam mata wang asing tanpa bergantung sepenuhnya kepada rizab antarabangsa, katanya.

Dari sudut ketahanan luaran, MOF berkata Malaysia turut mempunyai pengumpulan aset luaran bukan rizab dalam mata wang asing yang besar, ini secara langsung menyokong Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Bersih Malaysia yang kekal positif, berjumlah RM77.3 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK pada akhir suku ketiga 2025.

“Justeru, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai negara pemiutang bersih,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan