KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pasangan panda gergasi Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) dari China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8.30 malam ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) dalam kenyataan memaklumkan pasangan mamalia itu akan dibawa ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara yang telah dinaik taraf sepenuhnya untuk memastikan persekitaran yang kondusif, selamat dan selesa.
Menurut kementerian itu, Chen Xing dan Xiao Yue akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama sebulan di bawah pengawasan rapi pasukan doktor haiwan dan penjaga yang berpengalaman sebelum ditunjukkan kepada orang ramai.
“Ketibaan Panda Gergasi menandakan simbol integriti dan persahabatan yang berkekalan antara Malaysia dan China.
“Malaysia melalui NRES meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lepas bersempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
NRES memaklumkan bahawa pemeteraian perjanjian itu membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi baharu yang lebih muda untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035.
Menerusi kerjasama serupa sebelum ini, Malaysia telah menerima pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi pada 2012 sebelum haiwan itu dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial