DUNIA

Kemboja Lancar Sistem Amaran Awal Lindungi Petani Daripada Risiko Iklim

22/11/2025 03:00 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 22 Nov (Bernama) -- Kemboja mengambil langkah besar untuk melindungi hampir 80 peratus penduduk luar bandarnya daripada bahaya iklim yang tidak menentu dengan melancarkan peta jalan sistem amaran awal di seluruh negara.

Langkah itu penting dalam melindungi komuniti pertanian negara itu – yang merangkumi sekurang-kurangnya 65 peratus daripada 17 juta penduduknya – daripada pelbagai bencana berkaitan cuaca seperti banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan nyawa dan tanah pertanian.

“Kejayaan pelaksanaan peta jalan Early Warning for All bergantung pada mekanisme institusi yang kukuh dan diterajui kerajaan, yang dapat menggerakkan semua kementerian serta rakan kongsi berkaitan dalam menyampaikan amaran yang tepat pada masanya dan boleh dipercayai untuk menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat,” kata Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja Jo Scheuer pada majlis pelancaran di ibu negara itu pada Khamis.

Dibina di atas empat tonggak utama – pengetahuan risiko, pemerhatian dan ramalan, penyebaran dan komunikasi amaran, serta kesiapsiagaan dan tindak balas – peta jalan itu bertujuan membantu petani menjangka dan mengurus risiko iklim dengan lebih baik.

Kemboja, seperti negara jirannya yang berasaskan pertanian iaitu Laos, Vietnam, Thailand dan Myanmar, terdedah kepada keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan makanannya.

Di Vietnam, hujan lebat dan banjir pada minggu ini meragut 41 nyawa. Cuaca ekstrem itu turut menyebabkan penternak udang kara mengalami kerugian besar di Wilayah Dak Lak, kawasan penternakan udang kara terbesar negara itu, dengan kehilangan sumber pendapatan setahun apabila sangkar udang yang sedia untuk dituai musnah akibat banjir.

“Dengan hampir 80 peratus rakyat Kemboja tinggal di kawasan luar bandar yang sensitif terhadap perubahan iklim dan kira-kira 65 peratus lagi bergantung kepada pertanian, amaran tepat pada masanya mengenai banjir, kemarau dan ribut adalah kritikal untuk keselamatan makanan,” kata Program Makanan Sedunia (WFP) yang bekerjasama dengan kerajaan dalam projek berkenaan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, jurang pembiayaan masih wujud. Walaupun terdapat peruntukan Dana Iklim Hijau sebanyak RM430 juta (US$103.2 juta) untuk sistem amaran awal serantau, Kemboja masih menghadapi kekurangan RM95 juta (US$22.7 juta), iaitu kira-kira 41 peratus daripada anggaran kos peta jalan tersebut.

“Kerja sebenar bermula sekarang. Kita perlu bergerak pantas daripada peta jalan kepada tindakan, menggerakkan sumber, menghubungkan amaran awal dengan tindak balas tempatan, dan memastikan setiap komuniti bersedia bertindak apabila diperlukan,” kata Wakil WFP di Kemboja Kyungnan Park.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan