POLITIK

PRN Sabah: Penalti RM50 Juta Jika ADUN Lompat Parti - Ahmad Zahid

22/11/2025 07:39 PM

KINABATANGAN, 22 Nov (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN daripada BN yang melompat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian.

Beliau berkata walaupun mustahil untuk ADUN yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka.

“Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri turut meningatkan agar kesemua 45 calon BN yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 agar bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan UMNO kembali menjadi dominan di Sabah.

Beliau berkata rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan UMNO kembali memerintah negeri itu selepas 29 Nov ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan.

“Saya diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan.

“Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” katanya.

Pada 25 Mei 2023, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan ADUN bertukar atau melompat parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan