POLITIK

Misi Tawan Darau: 'Datuk Bob' Bawa Pendekatan Inklusif, Arfanshah Yakin Kelebihan Usia Muda

23/11/2025 11:50 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman dan Muhammad Saufee Rosman

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi bertekad membawa pendekatan politik yang lebih tersusun, inklusif dan berlandaskan keikhlasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Mohamed Razali, 56, yang juga anak jati Darau dan lebih mesra dengan panggilan ‘Datuk Bob’ berkata falsafah politiknya adalah mudah iaitu mendengar, memahami dan bertindak berdasarkan keperluan sebenar rakyat tanpa membuat janji yang melampaui kemampuan.

“Anda jangan turun dan mengajar orang. Buka telinga, anda akan memperoleh lebih banyak maklumat, anda mempunyai lebih banyak pengetahuan dan ia perlu sentiasa berdasarkan keikhlasan. Sangat mudah,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang berdepan pertandingan enam penjuru berkata keunikan Darau sebagai kawasan pinggir bandar yang menggabungkan kampung serta taman perumahan dengan populasi 33,016 pengundi menuntut wakil rakyat serba boleh dan memahami realiti pedalaman serta bandar.

Mohamed Razali berkata sekiranya diberi kepercayaan, agenda pertamanya adalah menubuhkan Majlis Pengurusan dan Perancangan Kampung yang melibatkan ketua kampung, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), pengerusi masjid serta wakil belia bagi memastikan setiap isu direkod, dibincangkan seterusnya dipantau dengan lebih profesional.

Beliau ketika mengulas mekanisme pemantauan itu berkata struktur berkenaan membolehkan prestasi kawasan itu dinilai secara jelas.

Menjawab isu tiga serangkai melibatkan air, elektrik dan jalan raya, Mohamed Razali mengakui Darau turut berdepan cabaran sama seperti kawasan lain, namun keadaannya bertambah baik seterusnya yakin ia akan diselesaikan menjelang tahun depan. 

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan memberi perhatian kepada golongan belia yang mewakili 58.21 peratus pengundi berumur antara 18 hingga 39 tahun.

“Belia pada hari kini, mereka memberontak kerana mahukan perubahan. Jadi kita perlu melibatkan mereka dalam sistem,” katanya, sambil menambah program keusahawanan Sabah Maju Jaya (SMJ) perlu dibawa terus ke kampung agar golongan muda tidak tercicir daripada peluang.

Mohamed Razali berkata konsistensinya mendekati rakyat adalah kekuatan sebenar dan meskipun dilabel sebagai calon bukan pilihan, perjuangan beliau di Darau adalah soal hati dan identiti, bukan sekadar politik.

“Apa maksud Darau bagi saya? Ia adalah kampung halaman saya, itulah sebabnya slogan saya ‘Darau di Hati’. Apabila anda meletakkan di hati, anda mempunyai belas kasihan, berdasarkan kasih dan sayang saya kepada Darau,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Arfanshah Abdul Gafar, 38, yakin penampilannya sebagai muka baharu serta faktor usia menjadi kelebihan utama untuk memenangi hati pengundi di DUN berkenaan yang pertama kali dipertandingkan pada PRN lepas.  

Arfanshah, 38, optimis kemunculan sebagai calon muda menjadi kelebihan untuk menarik undi golongan muda yang merangkumi sehingga 65 peratus pengundi di DUN itu, memandangkan tahap sokongan sebahagian besar daripada mereka masih berada ‘di atas pagar’.

“Pengundi muda ini maksudnya di bawah usia 40 tahun. Jadi, sudah pasti kita akan cuba mendapatkan sokongan melalui undi mereka dan mungkin sebab ini juga, BN meletakkan banyak calon muda untuk meraih sokongan daripada pengundi muda,” katanya.

Biarpun tidak menjangka dicalonkan oleh BN, Arfanshah yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Sabah berkata persediaannya sebagai ketua sayap serta makluman awal daripada pimpinan pusat dan bahagian membolehkannya memikul tanggungjawab itu dengan penuh komitmen.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar itu mengakui saingan yang bakal ditempuh adalah mencabar, namun Arfanshah tetap yakin peluang BN menang kerusi DUN Darau kali ini sangat positif bersandarkan kepada tawaran agenda pembangunan menyeluruh.

“Kalau kita lihat daripada sejarah, PRN sebelum ini kami (BN) kalah tipis dengan lebih 500 undi majoriti. Namun, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kami sebenarnya menang lebih 1,000 undi majoriti. Jadi, kami optimis untuk merampas kembali kerusi DUN Darau,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai sentimen ‘Sabah-for-Sabahan’ yang sering timbul pada setiap kali pilihan raya berkata isu itu tidak memberi kesan besar di Darau kerana BN telah lama bertapak di negeri ini dan diterima baik oleh masyarakat setempat.

DUN Darau yang mempunyai 33,016 pemilih berdaftar pada PRN kali ini terletak dalam kawasan Parlimen Sepanggar selain DUN Karambunai dan DUN Inanam. 

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N17: DARAU: SABAH: 33,016

 

1. Meriah Osman    (PIS)

2. Azhar Matussin     (Warisan)

3. Arfanshah Abdul Gafar    (BN-UMNO)

4. Nordin A.H.Thani                              (KDM)

5. Nabila Norsahar                                       (PN-Bersatu)

6. Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi   (GRS-Gagasan Rakyat)

(2020: Azhar Matussin: Warisan Plus-Warisan: Maj: 562)

 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan