EKONOMI

Selepas Penyertaan Berhasil Di Sidang G20, PM Anwar Berlepas Ke Kenya Bagi Lawatan Rasmi

23/11/2025 08:38 PM

Daripada M.Saraswathi

PRETORIA, 23 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas dari Afrika Selatan ke Nairobi, Kenya selepas penyertaan yang membuahkan hasil di Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di sini.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang dinaiki Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Waterkloof, Pretoria pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan, Ahad, (jam 6.30 petang waktu Malaysia) menuju ke destinasi terakhir daripada tiga negara kunjungan beliau di Afrika.

Pretoria yang juga pusat pentadbiran Afrika Selatan, terletak satu jam perjalanan dari Johannesburg yang merupakan lokasi Sidang Kemuncak G20 berkenaan.

Selain penyertaan serta pertemuan rasmi dalam sesi berkaitan, Anwar turut memanfaatkan peluang berinteraksi dengan kalangan pemimpin lain yang melibatkan perbincangan menumpukan usaha bagi meningkatkan pelaburan, perdagangan serta hubungan dua hala.

Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri dari 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu Presiden negara itu, Cyril Ramaphosa.

Perdana Menteri diundang atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau, Anwar berkata kunjungan kerja ke Johannesburg mencapai matlamat utamanya, memperkukuh hubungan kerjasama merentasi pelbagai bidang strategik antara Malaysia dan Afrika Selatan serta membuka ruang baharu yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Di pentas Sidang Kemuncak G20, Malaysia turut menzahirkan pendirian tegas dan berprinsip terhadap isu-isu mendesak yang menuntut keadilan, keamanan dan tindakan kolektif masyarakat antarabangsa,” kata beliau.

Anwar juga merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kementerian yang terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, para petugas keselamatan serta rakan media yang telah memastikan kelancaran keseluruhan program.

“Selesai urusan di Johannesburg, Afrika Selatan, saya dan delegasi Malaysia kini meneruskan misi Diplomasi MADANI ke destinasi terakhir yakni Nairobi, Kenya,” kata Perdana Menteri.

Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada 24 November.

— BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan